SEMUA kereta yang dimiliki oleh Datuk Soosilawati Lawiya, peguam Ahmad Kamil dan pegawai bank CIMB telah ditemui. Kereta SUV BMW X5 miliki Soosilawati ditemui di depan Pangsapuri Angsana, USJ1, kereta BMW miliki Ahmad Kamil dijumpai di depan sebuah hotel di Subang Jaya, manakala kereta Proton Perdana milik pegawai bank, Norhisham Mohammad pula ditemui di seksyen 7, Shah Alam.
Ini bermakna, semua kereta yang dinaiki lelaki yang hilang bersama Soosilawati sejak 30 Ogos lalu telah ditemui. Kereta Proton Perdana milik Norhisham dibawa pulang oleh isterinya, Suzana Radim Pangat, selepas beliau mendapat maklumat mengenainya daripada seseorang. Suzana membawa kereta itu pulang menggunakan kunci simpanan.
Selain memaklumkan mengenai penemuan kereta milik suaminya itu kepada wartawan, Suzana turut mendedahkan bahawa Norhisham memang ada menghubunginya menerusi telefon pada Isnin minggu lalu.
Bagaimanapun, kata Suzana menerusi perbualan telefon itu Norhisham bekelakuan pelik dan seperti tergesa-gesa. Malah suaminya memohon supaya dia (Suzana) faham situasi sekarang serta memintanya bersabar. Selepas itu, Norhisham gagal dihubungi menyebabkan Suzana membuat laporan polis mengenai kehilangannya/
Misteri kehilangan Soosilawati, pemandunya, Kamarudin, Ahmad Kamil dan Norhisham sememangnya menimbulkan pelbagai tanda tanya. Bagaimanapun, polis yakin dapat merungkai apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Maklumat daripada orang ramai semakin banyak, termasuk seorang pekerja kedai menjual kerepek di Sungai Lang, Banting yang mendakwa ada berbual dengan Soosilawati Khamis lalu, ketika ahli perniagaan itu singgah di kedainya, membeli kerepek yang menurut Soosilawati untuk dibahagikan kepada kakitangan pejabatnya.
Semua berharap kehilangan mereka tidak mempunyai unsur jenayah kerana ahli keluarga masing-masing sangat berharapkan kesemuanya pulang dengan selamat untuk bersama keluarga meraikan Aidilfitri.