POLIS meminta kerjasama individu yang dikatakan akan bertemu dan berunding dengan Datuk Soosilawati Lawiya bagi urusan penjualan tanah di Banting, 30 Ogos lalu tampil membantu polis dalam siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata maklumat individu itu sangat penting dan dijangka boleh membantu merungkai kes dengan lebih pantas.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes kehilangan Soosilawati bersama tiga lelaki lain yang masih menimbulkan misteri pelbagai pihak. Bagaimanapun, Musa yakin ahli perniagaan kosmetik itu masih berada dalam keadaan selamat.
"Ini kerana pemerhatian dan pemeriksaan awal ke atas kereta dinaiki beliau tidak menemui sebarang tanda yang mencurigakan. Kami yakin dan berharap dia selamat," katanya selepas lawatan ke IPK Selangor, tadi.
Tentang apa motif, sama ada berkaitan jenayah atau tidak, polis katanya tidak dapat membuat rumusan pada masa ini kerana masih memerlukan maklumat tambahan.
Soosilawati hilang sejak lapan hari lalu bersama pemandunya, penasihat kewangan dan peguam selepas keluar dari pejabatnya untuk berunding mengenai urusan jual beli tanah di Bantng.
Bagaimanapun, semalam polis menemui dua kereta mewah milik Soosilawati dan peguamnya di dua tempat berbeza di sekitar Subang Jaya, Selangor.