KISAH di Kota Bharu lain sedikit. Seorang ibu, Muliani Mahmud, 54, mendakwa anak perempuannya yang telah berkahwin, mempunyai seorang lagi suami apabila bernikah dengan 'suami' kedua baru-baru ini walaupun dia tidak pernah diceraikan suami pertama.
Menurut Muliani, anak perempuannya, Shazlinda Che Ali, 35, mempunyai seorang suami bernama Hashim, 48, seorang kontraktor dan telah pun mempunyai seorang anak berusia dua tahun.
Namun baru-baru ini dia dijemput anaknya itu untuk menghadiri majlis perkahwinannya dengan seorang lelaki lain, seorang kakitangan kerajaan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, dia tidak memenuhi jemputan itu kerana tidak mahu bersubahat.
Berikutan tindakan songsang anak perempuannya berkahwin lagi, Muliani begitu bimbang dan rungsing kerana perbuatan anak perempuannya itu jelas menyalahi hukum agama dan merayunya berfikir untuk kembali ke pangkal jalan.
"Saya keliru sangat dengan status perkahwinan anak perempuan saya itu sebab selama ini dia tak pernah pun bercerai dengan suami pertama itu," keluh Mulaini seperti dilaporkan Rosliza Mohamed, Harian Metro, edisi Timur.
Namun kini difahamkan, Shazlinda telah diceraikan pula oleh suami keduanya itu dengan talak maksimum. Bagaimanapun, kata Muliani anak perempuannya itu masih tinggal sembumbung dengan suami keduanya tanpa mengendahkan pandangan orang sekeliling.
Kenapa jadi begini? Nafsu tak terbendung? Atau akal tak terfikir?