ADA TIGA kemuskyilan bila bercerita fasal dividen/bonus/sumbangan Felcra kepada ahli?!!! di Negeri Sembilan.
Pertama, apa nama sebenarnya duit yang diberikan Felcra kepada orang ini? Dia tidak tinggal di Felcra. Dia tidak melakukan apa-apa kerja untuk Felcra. Dia sendiri tidak tahu di mana bahagian dia di dalam Felcra apabila ditanya. Dia cuma kata, dulu ada orang minta nama dan selepas itu dia duduk diam sahaja dan tunggu kerana apabila sampai masa Felcra hantar duit. Katanya, pernah jugalah setahun dapat lebih RM4,000 yang dibayar dua tiga kali. Memang dia seronok dapat dividen/bonus/sumbangan daripada Felcra dalam keadaan begitu terutama sebelum raya. Kata orang ini, bukan dia seorang sahaja dapat duit percuma macam itu. Banyak lagi. Kes ini berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan. Persoalannya, pemberian apakah namanya ini? Bonus? Dividen? Sumbangan untuk orang susah?
Kedua, kata orang ini, tahun ini bayaran yang diterimanya sedikit kurang. Setakat ini hanya lebih RM1,000 sahaja yang dia dapat bagi tahun 2010. Benarkah kurang? Kalau kurang apa sebabnya?
Ketiga, kalau benar ini salah satu cara tolong rakyat, elok juga nampaknya. Cuma tertanya bagaimanakah cara bantuan ini dilakukan? Apakah ada ketelusan dalam soal memilih mereka yang layak. Nampaknya, Felcra memang pemurah.