DALAM keadaan masa yang agak terhad, polis dikatakan sedang memburu seorang lagi suspek, dikatakan pengawal peribadi kepada peguam adik-beradik yang menjadi dalang pembunuhan kejam Sosilawati. Lelaki itu dipercayai mempunyai banyak maklumat mengenai pembunuhan yang berlaku itu, tetapi telah melarikan diri sebaik mengetahui kedua-dua peguam berkenaan ditangkap.
Kini jika benar lelaki itu diburu maka menjadi kemestian kepada orang ramai untuk membantu polis. Kita percaya orang ramai lebih daripada bersedia untuk membantu mencari dan mengesan lelaki berkenaan bagi memastikan dia tidak terlepas daripada pengadilan.
Malah, orang ramai terutama umat Islam yang amat terharu dan sedih dengan berita pembunuhan yang berlaku ketika sedang meraikan Aidilfitri turut bersedia menggunakan apa cara bagi membantu pihak polis mengesan lelaki terbabit, termasuk menggunakan kaedah tradisional dan sembahyang hajat.
Dalam soal ini, pihak berkuasa pasti sentiasa mendapat kerjasama dan keprihatinan masyarakat. Salah satu cara terbaik ialah dengan menyiarkan gambar, nama atau lakaran wajah lelaki terbabit. Masyarakat sudah tentu tidak mahu dia terlepas.