PERTENGAHAN jalan cerita pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang laIn di ladang Gadong dulu, pembaca dihidangkan berita kononnya remaja 19 tahun melakukan tugas awal membunuh kerana dia dikatakan berhati kering!
Beberapa rakyat Malaysia keturunan India yang saya jumpa dan saya tanya, kebanyakannya menggelengkan kepala. Bukan menggelengkan kepala kerana trauma atau ngeri berita remaja berhati kering itu, sebaliknya menggelengkan kepala tanda tidak percaya.
Mereka kebanyakannya lebih rasional memberi jawapan dari sudut lain. Kebanyakannya tidak percaya remaja itu berhati kering. Mereka lebih percaya, remaja itu menagih atau mentekedarah dadah mungkin jenis ketamin yang amat popular di kalangan ahli kumpulan gangster atau penjenayah!
Seorang daripada mereka yang mahu dikenali sebagai Ragu, lebih kuat tidak percayanya kepada cerita hati kering itu. Kata Ragu: "Pigiraa..bang. Hati kering tak pernah ada dalam manusialah. Orang jahat kalau mahu buat jahat dia akan thani (minum arak) atau makan dadah dulu. Kita tahulah sebab kita orang India dan banyak dengar cerita fasal penjenayah India macam ini"
Menurutnya, masyarakat India juga percaya ada di antara mereka berketurunan India yang tidak bertanggungjawab membawa masuk syabu dan ketamin dari India. Kumpulan itu katanya, adalah pemimpin penjenayah.
"Mereka ini selalu pergi ke sana (India) dan bila balik bawa masuk dadah jenis ketamin. Tujuannya untuk diberikan kepada anak-anak buah dalam geng mereka supaya kalau disuruh buat sesuatu mereka tak tunggu lama atau berfikir lama.
"Dalam kes Banting (Sosilawati) kita orang percaya, semua yang buat kerja bodoh itu diupah duit dan ketamin!. Bukan hati keringlah! Kita manusia mesti ada takut punya!"
Rata-rata juga keturunan India yang ditemui enggan identiti mereka dikenali kerana bimbang kalau nama atau gambar mereka keluar di media atau internet, ada sahaja gangster yang mencari.
Demikianlah kisah hati kering. Saya setuju dengan pandangan Ragu. Pigiraaa.. Kalau hati kering dalam lokap boleh pula terbuka semua cerita! Boleh pula tunjukkan polis satu persatu tempat barang bukti dibuang! Pigiraaa...saya ulangi kata-kata Ragu.