DUA wanita warga Kemboja pasti tidak dapat melupakan pengalaman ngeri yang dialami mereka awal pagi tadi. Mereka telah disamun, dibogel dan ditinggalkan oleh pemandu teksi yang mengambil mereka dari Stesen Bas Bukit Jalil.
Hajat mereka untuk ke Bukit Tinggi Klang dan seterusnya pulang ke negara mereka hari ini tidak kesampaian apabila kedua-duanya dibawa ke satu lokasi sunyi di felda Gedangsa Hulu Selangor. Di situ pemandu teksi durjana itu menyamun, membogelkan dan meninggalkan mereka dalam keadaan kesejukan berbogel.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, dipetik berkata kedua-dua warga Kemboja itu disamun pasport, wang tunai RM900, USD6,000 dan barangan kemas sebelum ditinggalkan.
Mereka kemudian dibawa oleh orang awam membuat laporan. Bertindak daripada laporan itu, polis menahan seorang pemandu teksi terbabit di Pantai Dalam dan merampas barangan seperti wang tunai dalam matawang
RM, Kemboja dan USD, pasport dan beg pakaian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, mengesahkan penahanan itu. Dikatakan kedua-dua mangsa baru tiba dari Johor dan telah bekerja selama dua tahun di negeri itu sebagai tukang jahit.
Berikutan pasport mereka akan tamat hari ini, mereka bercadang untuk pulang ke negara asal dan membawa wang tunai yang banyak. Namun hajat mereka tidak kesampaian apabila disamun, dibogel dan ditinggalkan di Felda Gedangsa oleh pemandu teksi terbabit.
Polis kini melancarkan gerakan memburu seorang lagi rakan pemandu teksi yang ditahan kerana disyaki turut terlibat. Percayalah, malam ini atau esok dapatlah penyangak itu!