SEJAK beberapa hari ini, manusia sesama manusia di negara yang baru menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 53 ini asyik berbisik sesama sendiri. Banyaknya duit Umno! Itu baru nampak yang tumpah atau cicir kerana poket koyak. Yang ada dalam bank, dalam saku dan yang simpan bawah bantal tentu banyak lagi agaknya.
Mereka berbisik bukan apa. Sebab keluar dalam media dan internet cerita-cerita pendedahan rasmi tentang duit melibatkan Umno dan bekas pemimpinnya. Sungguh kami tak tahu apa-apa kalau tak jadi cerita macam ini. Kalau tak disiarkan oleh media-media harian yang tidak dikuasai kerajaan dan blog-blog di internet, sumpah rakyat tak tahu. Apatah lagi yang selama ini mereka yang tak pernah mahu ambil tahu.
Ada juga yang bertanya Umno ini syarikat ke? Hebat sungguh sebuah syarikat anak Melayu boleh dengan mudah mendapat peluang berniaga dengan jumlah yang juta-juta. Kalau Umno ini sebuah syarikat, saya pun tabik sebab kagum sebuah syarikat Melayu yang dianggotai orang Melayu pandai berniaga. Orang Melayu bawah-bawah ini nak jual air dengan karipap goreng pun terkial-kial!
Apa-apa pun tahniahlah sebab apa yang banyak orang tak tahu, akhirnya diketahui juga. Macam kita-kita yang tahu buat-buat sajalah macam baru tau.