nuffnang ads

Sunday, September 26, 2010

AWANG SELAMAT BERLAGAK PANDAI. TOLONGLAH DENGAR NASIHAT ORANG.

SERONOK membaca jawapan Awang Selamat terhadap teguran Nazri Aziz. Seronok betul. Betul-betul seronok. Kata Awang Selamat, Utusan telah lama memperjuangkan Umno dan orang Melayu. Konon agenda itulah yang diusung sehingga kini.

Dan tadi, membaca komen Nazri Aziz terhadap jawapan Awang Selamat lagilah seronok. Seronok betul. Dan betul-betul seronok. Selepas ditimbang, diukur nyatalah Awang Selamat hanya kail sejengkal tapi bernafsu besar menduga laut dalam!

Konon Awang berkata, Utusan telah lama memperjuangkan kepentingan Umno dan orang Melayu. Maknanya, Utusan sekarang amat simpati dan sayangkan orang-orang Melayu. Kalau begitulah kata Awang Selamat baguslah, tapi janganlah sampai macam tiada baik langsung orang Melayu bukan dalam Umno dan bukan Melayu yang berada di dalam pembangkang. Awang Selamat jangan terkeliru dengan jawapannya sendiri. Kalau Utusan menjaga kepentingan orang Melayu, akhbar itu tidak meperlekeh dan menghina orang Melayu bukan Umno!

Atau Awang memang keliru, konon melihat orang Melayu dan Umno itu sama dan sinonim. Sebenarnya orang Melayu di luar Umno, termasuk di dalam pembangkang dan orang Melayu tanpa berparti semakin ramai dan tidak mustahil angkanya melebihi orang Melayu di dalam Umno! Mereka itu Awang Selamat pun kena jaga kepentingannya dan tidak pula boleh memperlakukan yang buruk-buruk sahaja kepada mereka.

Awang Selamat sekarang mesti membuka jendela minda lebih luas bertaakulan untuk memikirkan bahawa adakah selama ini Awang Selamat dan Utusan masih duduk di dalam kepompong sempit atau ada hasrat untuk keluar dan melihat realiti politik negara secara lebih luas.

Kalau sikap Awang Selamat macam umang-umang, menghulurkan sepit keluar daripada cengkerang yang dipinjam setiap kali mendengar orang bersiul itu maknanya, Awang Selamat dan Utusan masih di takuk lama. Masihg berada di dalam cara pemikiran yang purba.

Dan seronok untuk diulas sedikit tentang KEJUJURAN Awang Selamat yang mendakwa perjuangan Utusan memang untuk Umno dan orang Melayu.

Tertanyalah pula tentang laporan ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang dibantai oleh Utusan kerana masuk ke dalam surau. Konon lagi, Teo menyampaikan tazkirah. Maka daripada itu, banyaklah perkara hangat telah tercetus, termasuk tindakan mengambilalih pengurusan surau yang terlibat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Terkedulah pengurusan surau itu. Awang Selamat tentu sedar pengurusan surau itu adalah orang Melayu tapi berada di bawah kerajaan negeri pembangkang. Awang Selamat tentulah juga sedar pemimpin negeri itu diketuai oleh menteri besarnya seorang orang Melayu. Tapi Utusan mengambil sikap menyerang dan menyondol sesuka hati. Utusan telah mengguris hati bukan sahaja orang Melayu, tetapi perasaan bukan Melayu yang mahu berbaik-baik dengan suasana hidup orang Melayu dan Islamnya. Tidak pun Utusan melaporkan tujuan sebenar kehadiran Ahli Parlimen itu adalah untuk menyampaikan sumbangan membaiki pagar surau. Sebaliknya Utusan melaporkan ahli Parlimen itu mahu memberi tazkirah!

Kemudian tertanyalah pula orang Melayu dan bukan Melayu tentang kes Kamalanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor mewakili MIC, komponen Barisan Nasional yang masuk masjid,  juga di dalam negeri Selangor. Orang Melayu sebenarnya tidak mempertikaikan kehadiran Kamalanathan kalau benar itu tugas yang mesti dilaksanakan, tetapi orang Melayu marah kenapa Utusan mengamalkan sikap berpilih untuk melaporkan dua kejadian yang sama melibatkan seorang daripada BN dan seorang daripada parti pembangkang ini. Utusan terus senyap dan tidak melaporkan hal yang berlaku itu. Apakah dalam keadaan ini Awang Selamat tidak sedar bahawa Utusan yang Awang Selamat kendalikan adalah suratkhabar yang telah mengamalkan sikap yang tidak JUJUR.

Maka bertanyalah banyak orang,  jujurkah Utusan seperti dakwaan Awang Selamat kononnya akhbar itu mahu menjaga kepentingan dan nasib orang Melayu/Islam. Sedangkan Utusan mengamalkan laporan berpilih dalam kes masjid dan surau yang tentunya dikendalikan oleh orang Melayu?!

Sebenarnya, perjuangan Utusan yang betul ialah untuk kepentingan orang Melayu dalam Umno yang sebulu dengan pihak-pihak yang tertentu SAHAJA. Diulangi, untuk orang Melayu dalam Umno yang mungkin tidak sealiran seperti Nazri Aziz misalnya. Utusan bukan berjuang untuk kepentingan orang Melayu secara keseluruhan. Kalau Utusan berminat berjuang menjaga kepentingan orang Melayu keseluruhan, dalam kes masuk masjid dan masuk surau, akhbar itu akan membuat laporan sama rata. Dua-dua kena belasah demi menjaga kemuliaan tempat ibadat orang Melayu dan orang Islam. Ini adalah satu daripada sebegitu banyak contoh laporan dalam akhbar yang boleh dijadikan model kes menguji jujur atau tidaknya Awang Selamat dan Utusan.

Selepas ini, pemimpin tertinggi Umno janganlah malu-malu. Rombak sahaja pengurusan tertinggi Utusan supaya ia tidak menjadi senjata yang boleh memakan diri, atau soldadu barisan depan yang tidak berfungsi, sebaliknya hanya sering membenarkan diri menjadi kuda tunggangan.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10