"AKU tak bohonglah Mid! Ini bukan cerita lawak tahu. Ini betul-betul berlaku. Dia boleh tahu ada tanda lahir dekat punggung aku ni!" cerita seorang bekas Ketua Polis Daerah di negara kita kepada saya. Walaupun telah lama cerita ini, ada orang masih mahu tahu mengenainya.
Menurut cerita bekas pegawai polis itu lagi, dia pergi berkursus di Indonesia berkait hal-hal menangani jenayah yang sukar dirungkai. Contohnya macam jenayah yang dikatakan ada kaitan dengan ilmu hitam dan jenayah yang sukar dikenalpasti punca dan pelakunya.
Hendak dijadikan cerita, sebaik tiba di Indonesia, pegawai itu dan rakannya disambut oleh pengendali kursus yang dikatakan mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam bidang jenayah yang sukar dirungkai itu.
"Duduk-duduk berbual, tiba-tiba pegawai kanan polis Indonesia itu terus bertanya sesuatu. Dia tanya betul tak ada tanda lahir pada punggung aku. Memang betul pun ada tanda lahir. Cuma aku hairan, terror jugak dia meneka," kata bekas ketua polis daerah itu yang berpangkat ACP sebelum bersara.
Saya pun bertanya balik. "Mungkin dia agak-agak aje kot?"
Tapi bekas pegawai polis yang pernah berkhidmat di Bukit Aman, Petaling Jaya dan Johor itu menolak andaian saya. "Bukan itu sahaja. Dia banyak menunjukkan sesuatu yang luar biasa. Dia ada kemahiran dalam bidang yang kebanyakan orang tak mahir"
Dan tadi, bekas seorang pegawai tentera yang pernah menjalani kursus komando di negara itu juga menceritakan hal yang lebih kurang serupa. Katanya, dalam sesetengah hal kebanyakan kita hanya melihat dan berfikir secara logik.
"Hal-hal tentang sesuatu yang di luar dugaan atau luar biasa macam ilmu hitam kita jarang percaya. Sebenarnya ia ada dan boleh diatasi. Begitu juga dalam kehidupan kita. Cuma kita perlu mempelajari ilmunya untuk mengatasi masalah itu kalau ia menimpa kita"
Bekas mejar itu juga melontarkan pandangan lebih jauh mencadangkan universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini membuka cabang pendidikan dalam bidang mengatasi kejadian atau jenayah berkaitan luar logik atau pada pandangan orang biasa dikenali sebagai ilmu hitam.
"Kalau kita jadikan bidang itu sebagai cabang sains tentu menarik. Tentu lagi menarik kalau ia ditawarkan di peringkat diploma dan ijazah," katanya.