Laporan akhbar memetik projek Little India di Brickfields dijangka boleh disiapkan sebelum kedatangan Perdana Menteri India ke situ Oktober ini. Persoalannya, apa besar sangat Little India sampai kena tunggu Presiden India baru boleh siap.
Brickfields ini di mana? India atau Malaysia? Bukan mahu mengungkit, tapi inilah silapnya kerajaan. Bila mahu diminta wujudkan bandar ikut kaum, enggeh sahaja. Bila minta Petaling Street jadi China Town, enggeh! Bila minta Brickfields jadi Little India, enggeh! Inikah nilai 1Malaysia yang dimaksudkan Perdana Menteri?
Kita tak boleh berbohong, bila sebut Little India, jangan haraplah ada orang Melayu akan dapat berniaga di situ. Kalau ada pun seorang dua. Begitu juga China Town. Jangan haraplah ada peniaga Melayu merasa berniaga di situ. Kalau ada pun sama, boleh dihitung dengah jari.
Melayu Town atau Little Melayu di mana? Ini amat-amat menyedihkan. Ketika kita berusaha untuk memupuk perpaduan, ada pula cadangan mewujudkan pemisahan! Seperkara lagi, kenapalah begitu senang kawasan perniagaan bukan Melayu ini mendapat sokongan dan liputan antarabangsa. Sehinggakan Perdana Menteri India mesti dinanti-nantikan untuk datang ke situ sempena perasmiannya. Di Petaling Street pula, pelancong asing diumpan oleh Kementerian Pelancongan. Pelancong asing dijemput datang ke situ menerusi promosi kementerian pelancongan, konon China Town antara lokasi pelancongan di ibu kota.
Kawasan perniagaan orang Melayu macam mana? Adakah promosi seumpama ini dilakukan. Adakah kita menjemput Presiden Indonesia, Bambang Susilo Yudiyhono datang merasmikan bandar perniagaan Melayu di Tanjong Karang atau di Nilai, atau di Jelebu atau di Bahau?
Dalam kita seronok, kita sering terlupa. Kita tidaklah mahu sampai kera di hutan disusui, anak di pangkuan kehausan. Kalau betul mengamalkan konsep 1Malaysia, kewujudan bandar ikut kaum ini tak boleh diamalkan. Ia umpama barah dalam tubuh perpaduan. Sedihnya ia bukan diminta oleh rakyat terbanyak, tapi diluluskan oleh kerajaan!
Dengan perasaan sedih dan hiba, saya meminta bukalah mata wahai pemimpin negara. Inilah contohnya kenapa 53 tahun memerintah nasib orang Melayu dalam ekonomi masih tak terbela.