nuffnang ads

Tuesday, September 7, 2010

ANALISIS KEHILANGAN DATUK SOOSILAWATI

MISTERI terus menjadi misteri di sebalik kehilangan Datuk Soosilawati Lawiya, ahli perniagaan berjaya yang dilaporkan hilang ketika dikatakan dalam perjalanan berurusan mengenai perniagaannya di Banting Selangor, sejak 30 Ogos lalu.

Hal pertama menjadi misteri ialah kehilangan tiga lagi lelaki yang menemani beliau, termasuk seorang dikatakan pemandunya, peguam dan pegawai bank.

Hal kedua yang menjadi misteri ialah beliau dikatakan membawa sejumlah wang yang banyak dalam urusan itu. Dikatakan beliau membawa kira-kira RM4 juta sebelum dilaporkan hilang.

Berdasarkan urgency bagi setiap kes, sudah tentu, bukan keluarga Soosilawati sahaja yang membuat laporan mengenai kehilangan itu. Tentulah juga keluarga tiga lagi lelaki yang dilaporkan bersama beliau turut membuat tindakan sama - membuat laporan polis. Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan hanya satu laporan sahaja diterima setakat ini, itu pun daripada anak Soosilawati. Adalah mustahil, tiada laporan dibuat oleh keluarga lelaki terbabit sedangkan kes kehilangan Soosilawati telah dilaporkan secara meluas menerusi media cetak dann internet.

Hal kedua yang menarik perhatian pelbagai pihak ialah jika benar, kenapa Soosilawati sedemikian berani membawa sejumlah wang  yang amat banyak dalam satu urusan yang dikatakan membabitkan jual beli tanah. Bukankah lebih selesa urusan sebegitu besar, dilakukan di pejabat peguam dan pembayaran dilakukan menerusi bank. Ini kerana jumlah yang dikatakan dibawa itu bukannya sedikit. Jika Soosilawati lebih mudah berurusan secara tunai, tentulah juga beliau terfikir untuk mendapatkan bantuan kawalan keselamatan kerana urusan melibatkan wang yang banyak, amat mendedahkan seseorang kepada risiko yang amat besar. Soalnya kenapa beliau tidak membuat langkah-langkah pencegahan dalam urusan melibatkan wang sebegitu banyak?
Seperkara lagi, jika benar beliau membawa jumlah yang banyak, kenapakah lelaki yang bertugas sebagai peguam dan seorang lagi yang bertugas sebagai pegawai bank tidak menasihati beliau mengenai langkah yang perlu diambil untuk menjaga keselamatan itu.

Pada peringkat awal kes kehilangan ini, kemungkinan wujudnya elemen jenayah dan bukan jenayah memang ada. Polis tentulah lebih arif dan mereka tentu mempunyai kata kunci untuk memulakan penyiasatan daripada pintu yang mana.  Bagaimanapun, maklumat yang diterima, khususnya daripada ahli keluarga dan data komunikasi telefon menjadi faktor penentu sama ada polis akan bertindak mengikut cara yang mana.

Jika wujud elemen jenayah dalam kes ini, ia akan menjadi antara kes berprofil tinggi kerana melibatkan seseorang yang dikenali ramai atas faktor Soosilawati adalah ahli perniagaan berjaya dan keduanya dia mempunyai nilai berita pada kaca mata media. Ini kerana personalitinya sebagai bekas isteri penyanyi, Nash dan sering diundang di dalam beberapa segmen televisyen.

Apa sekalipun bacaan kita tentang misteri kehilangan ini, amat diharapkan beliau akan berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Mudah-mudahan tiada elemen jenayah dalam kes ini. Begitu juga melibatkan tiga lelaki lain yang turut membantu beliau.

Semoga Allah membuka pintu penyelesaian kepada pihak berkuasa dan dapat diselesaikan kes ini dengan sebegitu segera. Pada masa yang sama, orang ramai mempunyai hak untuk membantu pihak berkuasa. Salurkan maklumat segera agar kepulangannya dapat disambut oleh ahli keluarga mereka yang hilang ini. BERSAMA MENCEGAH JENAYAH.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10