LAPORAN menyebut tiga remaja perempuan, dua kembar dan seorang rakan mereka hilang selepas keluar beraya di rumah rakan mereka di Kampar, sejak Sabtu.
Sehingga jam 11 malam hari Sabtu, Nuruasyiqin Kamarazmi, kembarnya, Nurulain dan rakan, Suhaily Razak, yang tinggal di Taman Sentosa, dikatakan gagal dihubungi oleh keluarga mereka selepas beraya di rumah rakan mereka di pekan Kampar.
Ibu pasangan kembar, Harliza Samah, yang bimbang nasib anak mereka selepas gagal dihubungi telah pun membuat laporan polis. Ketiga-tiga yang hilang bersekolah sama di Sekolah Menengah Sentosa, Kampar.
Menurut Harliza, sebelum kejadian dua anak bersama rakannya itu meminta izin pergi beraya di rumah rakan mereka jam 11 pagi. Namun sehingga kini tiada sebarang berita diketahui mengenai nasib mereka.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana ketiga-tiga remaja itu berada diminta menghubungi balai polis terdekat.