Ellie kononnya si jutawan Lebanon yang dikenakan hukuman penjara enam tahun siang tadi seharusnya diusir keluar dari Malaysia sebaik sahaja dia selesai menjalani hukumannya.
Telah banyak onar dan masalah dibangkitkannya, tetapi kita kelihatan terlalu berlembut kepada orang luar yang menunjukkan keras kepala. Urusan mahkamah biar mahkamah tentukan, tetapi kerajaan tidak boleh berdiam membiarkan Ellie bermaharajalela dengan perangai buruknya di negara ini.
Selepas memalukan kita kononya mahu menderma lebih RM1 bilion kepada Majlis Kanser Negara (MAKNA), beliau banyak kali mencetuskan kontroversi apabila bermasalah dalam perkahwinan dengan isterinya seorang wanita negara ini. Tidak cukup itu, perangainya yang boleh ditimbang mengikut sentimen agama kerana agak mengelirukan di segi pegangan, bukan perkara kecil yang boleh dibiarkan.
Kalaulah hal sedemikian dipandang ringan ia sudah tentu menjadi ikutan rakyat luar atas alasan kononnya negara ini tidak berani bertindak keras kepada mereka, walaupun tingkah laku yang ditunjukkan membuat rakyat negara ini geram dan memendam rasa.
Sekalipun dia jutawan, apakah kita terlalu 'batak' mengharapkan sesuatu daripadanya. Dan kalau benar dia hanyalah lelaki merempat yang pandai berbohong, maka sebaik sahaja dia selesai menjalani hukuman penjaranya, kita tunjukkan dia jalan keluar. Hadiahkan dia sebatang tongkat dan ucapkanlah perkataan seperti Pigilah lu!