PORT DICKSON: Penduduk mukim Pasir Panjang, termasuk yang tinggal di Kampung Bukit Tembok, dekat sini mulai mempertikaikan tindakan kerajaan negeri merobohkan empangan lama yang membenteng air dari Tasik Bukit Kepong ke Sungai Raya.
Ini kerana tindakan itu telah menyebabkan sebahagian tasik semulajadi berkeluasan lebih 1,000 hektar berkenaan semakin kering dan mengancam habitat ikan serta hidupan burung-burung liar seperti belibis dan helang. Malah tasik yang turut menjadi habitat buaya tembaga itu kini dibiarkan tanpa penyenggaraan.
Seorang penduduk, Mat Rahim, mendakwa empangan yang dibina sejak zaman merdeka bertujuan mengalirkan air ke kawasan lebih 1,500 hektar sawah padi suatu ketika dulu tidak wajar dirobohkan. Ini kerana katanya, empangan itu berupaya mengelak air Tasik Bukit Kepong mengalir keluar menerusi Sungai Raya sebelum menganjur ke Sungai Linggi dan memasuki Selat Melaka.
"Ini satu tindakan silap pihak kerajaan kerana merobohkan empangan. Sudahlah tiada apa-apa projek mahu dilakukan, empangan ini pula dirobohkan. Akibatnya air tasik menjadi kering. Banyak ikan dan hidupan lain mati!" katanya.
Mat Rahim memberitahu, tasik semulajadi itu selama ini menjadi bekalan utama air bagi keperluan sawah penduduk tetapi selepas semua tanah sawah di situ dijadikan kebun pisang dan kelapa sawit, tasik berkenaan terbiar sahaja.
"Dulu-dulu ada juga dengar nak buat projek pelancongan. Ada juga dibina lebih kurang 10 chalet atau rumah rehat di tepi tasik ini, tapi projek itu terus terbiar dan terbengkalai. Mungkin terbiar lebih 20 tahun dah," tambahnya.
Kini, berdasarkan kerja merobohkan empangan dan menimbus kesemua parit konkrit yang dibina kerajaan lebih 30 tahun lalu, penduduk sekitar mulai tertanya-tanya. Ini kerana tiada papan tanda yang jelas menceritakan apa sebenar yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri.
Seorang pemancing, Johan Mahmud, 60, pula memberitahu tasik semulajadi itu sebelum ini penuh dengan pelbagai jenis ikan yang tidak kedapatan di tempat lain. Katanya, antara jenis ikan itu ialah Ikan Biji Nangka, Kepar, Bujuk, Belida dan pelbagai jenis yang lain.
Bagaimanapun, katanya sejak empangan dirobohkan dan air semakin kering kebanyakan ikan itu mati. Malah katanya, kehadiran beribu belibis terbang ketika senja juga sukar dilihat dipercayai berpindah ke habitat lain selepas air tasik itu dikeringkan.
"Kerajaan kena buat betul-betul kalau memang ada projek mahu dijalankan di sini. Kalau tidak membazir dan merosakkan alam sekitar sahaja," katanya.
Difahamkan, Tasik Bukit Kepong adalah antara tasik semulajadi terbesar di Negeri Sembilan yang mempunyai kesan bersejarah kerana menjadi tempat berkubunya tentera Inggeri dan Jepun satu ketika dulu. Tasik ini bersempadan sehingga Linggi dan penempatan Orang Asli Kampung Bukit Kepong memang sesuai dijadikan kawasan pelancongan.
Namun apalah yang boleh diharapkan daripada kerajaan Barisan Nasional Negeri Sembilan kerana apa yang dilakukan di situ seperti perbuatan tikus mencuri beras di waktu malam. Samalah juga mengharapkan tikus membaiki labu. Habis jahanam alam sekitar!