CEUPACS, sebuah kesatuan yang sering sibuk minta naik gaji kakitangan kerajaan, hari ini membidas Timbalan Menteri T Murugiah kerana tindakannya MENGHALAU 4 pegawai Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Murugiah dikatakan menghalau pegawai terbabit daripada bilik mesyuarat kerana gagal memberi penjelasan berhubung masalah penduduk di lima taman perumahan yang dikatakan telah berlarutan lebih lima tahun lalu.
Presiden Ceupacs, Omar Osman macam menyinga pula, lalu meminta Murugiah meminta maaf di atas tindakan itu kerana dakwa Omar ia telah memalukan pegawai terbabit.
Cerita ini adalah dalam Berita Harian hari ini.
Pada saya, kalau tak mahu malu buatlah kerja betul-betul. Kalau lima tahun masalah berlarutan dan bila diminta penjelasan tak mampu menyakinkan pemimpin, apa salahnya kalau dihalau keluar. Bukankah itu lebih baik daripada dilucutkan jawatan atau diminta supaya pulangkan semula duit rakyat yang diambil sebagai gaji selama ini.
Mr Omar mesti faham, rakyat adalah raja dan kalau pegawai kerajaan berasa diri mereka juga raja, maka perbuatan dihalau seperti hamba itu adalah hikmah Tuhan supaya pegawai berkenaan faham bahawa mereka bertugas untuk rakyat bukan menjadi raja kepada rakyat!
Hal-hal berkaitan kelembapan pegawai kerajaan yang dikatakan sengal dan lenguh sendi ketika bertugas terutama untuk menyelesaikan masalah rakyat bukan baru. Kalau Omar cuba faham perasaan pegawai kerajaan yang dihalau itu, Omar juga kena faham perasaan rakyat yang lima tahun masalah mereka tidak usai-usai.
Kepada Murugiah, terpulanglah anda. Meminta maaf kerana menghalau tak mungkin menyelesaikan masalah penduduk. Pada saya, betul tindakan itu, kerana lemak yang banyak kadang kala perlu disedut secara tiba-tiba. Barulah ada rasa sikit!