nuffnang ads

Tuesday, August 24, 2010

TIGA KALI MASUK UNIVERSITI, DIN MEMENDAM RAHSIA LUKA

BERTEMU ANAK MUDA berusia 30 tahun itu, segera melontarkan ingatan saya kepada bekas Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri. Cerita anak muda bernama Din itu tentang dunia akademiknya hampir sama dengan Megawati. Sama-sama masuk universiti, tapi tak pernah gapai segolong ijazah. Bezanya Din masuk tiga kali, Megawati hanya dua kali. (Selepas itu saya tak pasti Megawati teruskan pengajian atau tidak).

Kata Din, ketika PMR dan SPM dia adalah antara pelajar cemerlang. PMR dapat 7A dan SPM dapat 5A. Kemudian dia ambil STPM dapat 4 prinsipal. Kali pertama dia dapat tawaran mengikuti kursus kejuruteraan di UiTM, tapi kerana selalu sangat berdepan masalah kewangan, sampai semester 4, dia pun terus tak masuk dewan kuliah. Setahun lepas itu dia guna entah apa cara, dapat pula masuk USM, tukar kursus (saya tak ingat). Plot ceritanya pun sama. Sampai semester 3, dia buat hal yang sama. Tak masuk bilik kuliah walaupun keputusan CGPAnya hampir mencecah 3.0.

"Entahlah bang. Saya rasa macam bersalah sangat. Bila belajar, dapat pinjaman, duit saya hantar separuh ke kampung, sebab saya orang susah. Satu hari tu, saya tengah tak ada duit, tapi kena bayar nak beli bahan projek. Saya pinjam dari kawan RM150.

"Awal-awal lagi kawan macam berat nak bagi pinjam sebab tahu saya orang susah, tapi mungkin sebab kesian, dia bagi juga. Lagipun kami satu kumpulan berempat," cerita Din.

 Cerita Din lagi, puas dia berusaha untuk mencari jalan untuk membayar semula pinjaman itu, tapi sudahnya sampai semester baru mahu bermula, dia masih buntu. Usahanya untuk mencari wang untuk bayar pinjaman kawannya itu tak kesampaian. Duit pinjaman pula katanya, lewat masuk. Jadi lepas lama termenung di tepi sungai dekat kampungnya, Din pun buat keputusan. Dia buang kad metriknya ke dalam sungai dan cakap pada dirinya, dia tak akan mendaftar untuk sambung pengajian.(Din bayar hutang kawannya selepas bekerja)

"Saya sedih sangat bang. Masa itu, memang saya menangis. Kenang hutang pada kawan, ingat duit nak buat pendaftaran hati saya hiba sangat. Akhirnya saya tipu keluarga. Saya cakap saya nak daftar belajar, tapi sebenarnya saya ke Kuala Lumpur ikut kawan dan cari kerja. Rezeki saya ada bang. Nasib saya mungkin baik, dapat kerja jadi kerani sebuah bank," cerita Din, separuh sayu.

Dua tahun bekerja, keluarganya akhirnya tahu apabila seorang kawannya yang datang dari kampung masuk bank tempat Din bekerja. Kawan itulah yang pecah tembelang memberitahu keluarga Din di kampung. Mula-mula kata Din, ibu dan ayahnya masam muka, tapi selepas dia meminta maaf berkali-kali, mereka pun faham. Lagipun sepanjang bekerja in tak lupa mengirimkan RM300 untuk keluarga. Peringkat awalnya, bila keluarganya selalu tanya,  Din kata duit itu adalah separuh daripada duit pinjaman belajarnya.

Bila dah jadi kerani, Din tengok pengurus bank banyak kali tampal notis untuk jawatan eksekutif. Mula-mula ada juga hati nak dia nak memohon tapi disebabkan jawatan itu hanya untuk pemegang ijazah, Din lupakan hasratnya. Sehinggalah satu hari dia tekad memohon belajar secara PJJ di UiTM dalam bidang perniagaan.

"Tapi nasib saya memang macam inilah agaknya bang. Masuk dua semester saya give-up" katanya perlahan-lahan.

 Saya terkejut dan simpati. Terfikir juga dalam fikiran saya kenapa Din buat keputusan macam itu. Kalau dulu dia kata masalah kewangan, tapi sekarang tentulah tidak. Bukankah dia telah bekerja, bisik hati saya.

 "Kenapa jadi macam itu Din?" akhirnya saya beranikan juga bertanya.

Nak tahu apa jawab Din? Dia kata, dia terpaksa berhenti belajar sebab girl friend dia yang ikut sama belajar PJJ dan bekerja di bank yang sama nak nikah dengan lelaki lain! Saya tergamam. Saya renung ke dalam bola mata Din lama-lama. Lama-lama saya renung ke dalam bola matanya. Din membiarkan sahaja saya menatapnya lama-lama, sebelum menitis air mata dari celah kelopak matanya.

"Bang...kita cerita hal lainlah ya!" akhirnya dia seakan merayu. Dan datang pula sayu dalam hati, lalu saya memohon maaf.

Sebaik bangun dari duduk di belakang bangunan bank tempat dia bekerja saya pun bertanya lagi. "Girl Friend Din kerja bank ini juga ke?"

Din gelengkan kepala. "Tak lah bang. Dia kat bank PJ. Saya dah berhenti kat bank sana, minta kerja kat bank sini. Baru sebulan pindah kerja. Tak boleh tengok dialah bang. Mesti saya sedih!" 

Kemudian Din minta diri menyambung tugasnya di kaunter dan saya perlahan-lahan mengheret langkah penuh lemah. Cerita Din membuatkan saya kehilangan kata-kata! Perasaan saya hiba dan cacamarba.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10