SEMAKIN terserlah kegiatan buruk laku ejen Operasi Kuburkan Politik (OKP) yang dimaklumkan sebelum ini, apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan penemuan mengejutkan sebuah PERAKAM VIDEO yang dipasang tanpa kebenaran di bilik beliau.
OKP yang disyaki didalangi UMNO itu bertujuan meruntuhkan kekuatan Pakatan Rakyat dengan berusaha mencari kelemahan pemimpin yang menjadi sasaran mereka terutama melibatkan kelemahan peribadi. Tokoh utama sasaran gerakan itu ialah menteri besar dan beberapa Adun seperti Ronnie Liu, Yaakop sapari, Azmin Ali dan Shuhaimi Shafie.
Berikutan penemuan perakam video yang dipasang secara jahat itu kira-kira jam 6 petang, menteri besar mengarahkan siasatan segera dilakukan bagi mencari mereka yang bertanggungjawab. Ini termasuk penelitian kepada semua kamera litar tertutup (CCTV) di semua laluan penting bangunan menempatkan pejabatnya.
Difahamkan, setakat ini kandungan perakam video itu telah disemak oleh menteri besar tetapi tidak menunjukkan sebarang rakaman yang boleh mencetuskan masalah.
Setakat ini, dipercayai gerakan menjatuhkan pemimpin Pakatan Rakyat itu menggunakan pihak tertentu termasuk kemungkinan orang dalam atau mereka yang rapat dengan pemimpin yang menjadi sasaran. Tidak mustahil pakar dalam soft skill turut digajikan bagi memastikan matlamat menawan Selangor menjadi kenyataan.
Sebagai langkah berjaga-jaga adalah dicadangkan supaya kerajaan Pakatan Rakyat menyegerakan tindakan menangkis dan mengambil sikap lebih berwaspada dengan pihak yang mencurigakan.