OLEH KERANA terlalu gembira, tanpa sedar saya menitiskan air mata apabila mengetahui ura-ura Universiti Teknologi Mara (Uitm) mahu menubuhkan Kursi A Samad Ismail sejak beberapa minggu lalu yang pelancarannya menjadi kenyataan semalam. Ini sebagai mengenang jasanya yang terlalu besar dalam dunia kewartawanan, di sebalik latar belakangnya sebagai pejuang, aktivitis dan intelektual seperti diungkapkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifudin Abdullah.
Kata-kata allahyarham masih basah dalam ingatan saya pada pertemuan terakhir dengannya sekitar 2001 di sebuah bilik di NST Jalan Bangsar. Ketika itu allahyarham mengakui kepada saya beliau sakit-sakit dan berkata saat itu beliau berasakan seperti tiada apa-apa dalam hidup ini. Saya benar-benar tidak faham maksud kata-katanya, tetapi sebelum balik dia ada berkata kepada saya jadi orang suratkhabar ini tak dapat apa-apa kecuali engkau mati esok mungkin orang baru ingat!
Kemudian selepas pertemuan itu saya ada menghubunginya untuk pertemuan lagi tetapi beliau menjelaskan dalam keadaan kurang sihat. Selepas itulah saya tertonton satu segmen dalam TV1 dalam keadaan beliau disorong menggunakan kereta sorong. Beliau begitu uzur rupanya. Melonjak hati saya untuk menziarahinya tetapi tidak kesampaian kerana dalam tempoh itu saya menjalani pembedahan lagi. Itulah saat menyedihkan apabila saya mendengar beliau menyanyi lagu lama. Kalau tak silap saya antara liriknya begini: "Aku pulang dari rantau...bertahun-tahun di negeri orang...oh Malaya. ...Oh di mana..kawan dulu...kawan dulu yang sama berjuang......Kekasih hatiku pun telah lama hilang...hilang entah ke mana.."
Banyak juga memori saya bersama allahyarham. Di antaranya ketika saya "bergeser' dengan sasterawan negara Allahyarham Datuk Usman Awang berhubung satu artikel yang saya tulis dalam Metro Ahad. Usman Awang menghantar surat tidak puas hatinya kepada Pengarang Kumpulan ketika itu, Datuk Ahmad Nazri. Diketahui juga oleh allahyarham pak Samad lalu dia memberitahu saya yang Datuk Nazri akan memecat saya dari kumpulan Berita Harian. Saya buat muka selamba apabila allahyarham bercakap begitu. Tidak lama kemudian dia ajak saya duduk dan kami duduk di dalam bilik saudara Mior (sekarang Datuk Mior Kamarul - pengarang kumpulan Berita Harian. Pak Samad gelak besar memandang saya dan mencadangkan begini. "Engkau hantar satu surat kat Usman Awanglah. Apa nak susah. Nazri tak buang engkau punya!"
Untuk rekod allahyarham adalah Ketua Pengarang Kumpulan NST yang pertama iaitu turut menaungi Berita Harian ketika awal penubuhan.
Kini dengan tertubuhnya Kursi A Samad Ismail di Uitm saya berasa amat bangga kerana ketokohan beliau dalam kewartawanan diletakkan pada duduk yang selayaknya. Semoga allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.