nuffnang ads

Thursday, August 12, 2010

DALAM POLITIK BANYAK SANDIWARA WAHAI TIMBALAN PERDANA MENTERI!

Muhyidin memang hebat. Selain pantas membuat tanggapan terutama dalam kes gambar Sultan Johor pada kain rentang di Batu Pahat baru-baru ini, beliau juga hebat kerana berjaya membentuk seorang anak gadis yang mempunyai masa depan amat cemerlang dalam bidang nyanyian.

 Saya cuma ingin berceritera tentang sandiwara. Muhyidin tentunya faham dalam politik banyak benar sandiwaranya. Ada sandiwara bendera parti A dibakar. Maka mengamuklah pemimpin parti A menjaja marahnya dalam media konon itu angkara jahat parti B. Kemudian ada lagi sandiwara, kereta petugas parti A dibaling batu dan pecah ketika berkempen. Maka mengamuk lagilah pemimpin parti A kepada media. Dituduhnya demikianlah perangai parti B. Jahat dan tidak boleh disokong oleh rakyat!

Sebenarnya apa? Itu hanyalah sandiwara. Sebenarnya parti A mengupah pihak tertentu (biasanya agensi yang tugasnya untuk buat perkara macam itu) melakukan kerja-kerja sandiwara. Bila dihebohkan dalam media, maka berharap pemimpin parti  A yang rakyat semakin ramai membenci parti B. Ahhhh...sandiwara ini hanyalah sandiwara yang sering dilakonkan oleh pelajar tadika yang sudah diketahui orang di mana mula dan di mana akhirnya.

Barangkali Muhyidin pun faham dan boleh ingat. 2001! 2001!2001! Saya ulangi tahun itu kerana angkara kerja agensi yang diupah untuk bersandiwara, maka imej pelajar Universiti Malaya dan Naib canselornya pun tercalar. Kalau Muhyidin lupa, saya ingatkan tentang penebitan buku tahunan UM yang dikenali sebagai VARSITI 2001!

 Dimarahilah pemimpin UMNO dari Mahathir hinggalah kepada semua menteri yang ada, termasuklah menteri wanita si Azalina. Semuanya mengamuk macam syaitan merasuk. Ini kerana buku itu SEPENUHnya bermuatkan artikel dan gambar memualkan tentang Mahathir, menteri-menteri termasuk Rafidah dan yang buruk-buruk belaka tentang UMNO.

 Buku itu kemudian diedarkan secara pos kepada ramai pemimpin UMNO termasuk di peringkat negeri. Diberitahu Mahathir dalam media supaya dicari PELAJAR atau mereka yang bersekongkol dalam penerbitan buku yang memalukan Mahathir dan UMNO itu. Maka ditulislah juga media arus perdana misalnya, tentang keburukan pelajar UM yang sifatnya suka menentang kerajaan. Nama naib canselornya pun tercalar sama. Azalina pernah menyarankan naib canselor itu meletakkan jawatan konon gagal mengawal siswa UM yang kononnya mula menunjukkan taring anti-kerajaan atau anti-UMNO.

 Maka dengan berdoa, saya pun memulakan tugas. Sebuah pejabat di Jalan Klang Lama menjadi saksi. Saya minta bantuan Datuk Sabree Salleh pakar taekwando yang hebat itu memaklumkan kepada Perdana Menteri. Malam esoknya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Yusof Rahman dan tiga lagi pegawai kanan mengadakan perbincangan dengan saya di sebuah hotel di Shah Alam. Tan Sri Norian Mai, hanya berjumpa seketika dan menyerahkan perbincangan itu diketuai oleh Datuk Yusof Rahman. Saya tunjukkan bukti. Semua seperti tidak percaya pada mulanya.

 Tangkapan pun dibuat! Siasatan dilakukan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya terhadap beberapa saksi. Dan terungkailah sandiwara Varsiti 2001. Demi Allah, itulah ceritanya. Rupanya ia dibuat oleh beberapa kakitangan sebuah agensi yang kerjanya memang buruk sangat lakunya. Tapi kerosakan dan keburukan telah menimpa. Paling sedih ia menimpa pelajar UM dan naib canselornya yang TIDAK BERDOSA! Demikianlah wahai Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin. Cerita tentang sandiwara sebuah politik. Mencari keuntungan dan merit dari kemusnahan orang. Dan banyaklah lagi cerita sandiwara telah berlaku dalam politik negara kita.

 DAN ALANGKAH BAIKNYA Timbalan Perdana Menteri tidak terlalu awal mengulas dalam isu poster memaparkan gambar DYMM Sultan Johor. Dan kalau betul pula dakwaan Datuk Chua Jui Meng dalam temuramahnya dengan MALAYSIAKINI bahawa beliau ada mendengar nama bekas menteri besar Johor dikaitkan,  saya harap sandiwara politik bodoh tidak terus diulang-ulang. Saya tidak tahu dan tidak mahu tahu siapa yang Chua Jui Meng maksudkan bekas menteri besar itu. Itu bukan kerja saya. Kerja saya adalah menasihatkan orang berbuatlah baik dan jangan melakukan apa sahaja mengikut prinsip MATLAMAT MENGHALALKAN CARA.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10