KLANG: Dua pengawal keselamatan maut ditembak rakan sendiri dalam satu kejadian di tempat letak kereta di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
P Maigavanam, 47, dan S Gunasilan, 22, dikatakan membuat teguran berharga paling mahal kepada seorang rakan mereka yang didakwa tidur ketika bertugas. Namun teguran itu dibalas dengan beberapa tembakan menyebabkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah, mengesahkan kejadian. Polis sedang menyiasat.
Difahamkan, orang ramai termasuk kakitangan dan pelawat hospital pada mulanya merungut menyangka letupan yang mereka dengar di subuh hari adalah angkara mereka yang nakal bermain mercun. Malah ada yang berang dan cuba pergi ke tempat letupan kedengaran.
Bagaimanapun, jangkaan mereka meleset. Letupan yang didengar adalah hasil tembakan yang dilepaskan oleh seorang pengawal keselamatan ke atas dua rakan mereka.
Suspek yang berusia 37 tahun, menyerah dan melaporkan kejadian itu di pondok polis HTAR sebelum ditahan untuk siasatan.