HASRAT seorang lelaki untuk mendirikan istana bahagia bersama teman wanitanya tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas jatuh dari salah satu tingkat bangunan tempat meletak kenderaan di Shaw Centre, Singapura petang kelmarin.
Shukur Rahmat, 23, jatuh ke atas sebuah kenderaan mewah jenis Audi, sebelum tubuhnya dikatakan melantun pula ke atas sebuah kereta Mercedez yang berada di belakang dan meninggal dunia di tempat kejadian, akibat kecederaan parah.
Sebelum itu, Shukur, penyelia di sebuah kedai menjual aiskrim di Shaw Centre, dikatakan berselisih faham dengan teman wanita berusia 20-an sebelum ditemui orang ramai terbaring di atas jalan raya.
Dia yang dikatakan bakal mengahwini teman wanitanya pada Disember depan dikatakan juga seorang yang panas baran, tetapi menurut kawan-kawannya dia juga seorang yang ceria.
Malah ibu saudaranya yang tidak mahu dikenali mengakui sifat panas baran allahyarham, tetapi memberitahu Shukur juga seorang yang baik hati dan amat menghormati orang tua.
Menurut ibu saudaranya itu lagi, Shukur sejak kebelakangan ini asyik marah-marah tetapi keluarga tidak mengetahui apa masalah yang sedang dihadapinya.