SHAH ALAM: Satu gerakan secara besar-besaran sedang dirancang dan didalangi UMNO bertujuan membunuh karier politik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu menjelang pilihanraya umum ke 13 akan datang.
Gerakan dikenali sebagai Operasi Kubur Politik (OKP) di kalangan pemimpin UMNO itu dikatakan mensasar Khalid dan beberapa Adun lain seperti Azmin Ali, Ronnie Liu, Yaakop Safari dan Shuhaimi Safiei kerana mereka dikatakan tonggak kekuatan Pakatan Rakyat sekarang.
Gerakan yang diketuai ketua pembangkang, Khir Toyo itu turut dianggotai beberapa pemimpin pemuda UMNO bahagian dan mendapat sokongan penuh sebuah sekretariat khas bagi memastikan Pakatan Rakyat tumbang sepenuhnya dalam pilihanraya akan datang.
Antara strategi dalam OKP itu ialah penggunaan kaedah perang saraf secara maksimum menggunakan elemen memburuk-burukkan peribadi Khalid di kalangan rakyat di seluruh Selangor dengan mencipta watak negatif Khalid sebagai ahli politik yang berbahaya kepada orang Melayu serta suami yang tidak bertanggungjawab dan korup.
Sepanjang gerakan itu berjalan, rakyat akan disalurkan maklumat oleh ejen-ejen tertentu memburukkan latar belakang Khalid dan beberapa Adun yang lain, termasuk meracuni rakyat dengan dakwaan mereka adalah perosak kepada hubungan antara kaum, penjenayah komersil yang mencuri kekayaan negeri serta melabelkan mereka lebih buruk dari pemimpin komunis.
Penerapan nilai-nilai buruk ini sedang berjalan dan jika tiada tindakan untuk menangkisnya dari kerajaan Pakatan Rakyat, tidak mustahil rakyat boleh terkeliru dan kembali terperangkap dalam permainan silap mata UMNO untuk berkuasa semula di negeri itu.
Pelaburan tinggi untuk menjayakan OKP dikatakan turut mendapat restu pemimpin kanan UMNO pusat dan mereka merestuinya jika itu adalah cara terbaik untuk mendapatkan kembali Selangor dari tangan PR. Beberapa pertemuan sulit juga kini sedang berjalan di kalangan pemimpin UMNO negeri dan ikon rakyat di peringkat bawahan, terutama membabitkan kawasan kubu kuat Pakatan rakyat untuk memastikan gerakan itu berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.