ABANG BUNG, ahli parlimen Kinabatangan telah berjaya mengetepikan hukuman penjara yang dikenakan kepadanya sebelum ini kerana kesalahan berkaitan poligami apabila berkahwin dengan isteri keduanya, artis/pelakon Zizie Izette. Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam keputusannya sebentar tadi, bagaimanapun memerintah Bung membayar denda MAKSIMUM RM1,000.
Maka, Ramadan ini Bung pastinya berasa lega. Bahagialah dia seperti katanya keputusan itu menjadi satu hadiah Ramadan buatnya! Tapi Bung jangan lupa, kerosakan imej telah berlaku. Sebagai seorang ahli politik, imej Bung tentu tercalar pada pandangan rakyat jelata.
Bukan kerana kesalahan memiliki isteri kedua, tetapi kerana kesalahan dalam cara melaksanakan perkahwinan itu. Maka bertanyalah rakyat, beginikah sikap wakil rakyat BN. Selalu basah di bibir mereka adalah nasihat agar rakyat mematuhi peraturan dan mematuhi undang-undang. Basah juga seruan pemimpin BN supaya rakyat menghormati undang-undang. Tapi mampukah Bung?
Tidak mustahil Bung akan ditolak dalam senarai calon BN pada pilihanraya umum akan datang. Bung telah menjadi seekor ketam. Disuruhnya anak belajar betul, tapi cara jalannya? Tengoklah.
Kalaulah kes ini melibatkan parti pembangkang, media arus perdana kecuali Berita Harian dan Harian Metro bagai tak cukup ruang untuk membantai kiri dan kanan. Moga insaf-insaflah.