KHAIRY JAMALUDIN hanya terbuka mata mengenai masalah saman ekor selepas berpuluh tahun rakyat diseksa oleh kerajaan Barisan Nasional? Baru sekarang mata hati pemuda UMNO terbuka dan sedar betapa selama ini rakyat telah diseksa sedemikian zalim oleh kerajaan yang kononnya penyayang?
Atau mata hati Khairy hanya terbuka apabila Pakatan Rakyat dan rakyat mula menunjukkan sikap ofensif untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada pada pilihanraya akan datang, lalu menyebabkan dia tanpa malu menelan segala keaiban kerajaan dengan meminta saman ekor dihentikan serta-merta.
Ada sepatah perkataan. Terima kasih! Tapi tindakan saudara mencubit bapa sendiri sudah terlewat untuk memujuk dukacita rakyat merempat. Betapa lumat dan walang hati kami bertahun-tahun didera untuk menjelaskan saman ekor, sehingga ada di antara kami terpaksa menaiki bas dan menumpang orang, tidak mungkin terpujuk oleh perubahan sikap saudara. Air mata kami, telah kering diseksa oleh kerajaan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Hanya kerana saman, kami kehilangan hak untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan yang telah menjadi keperluan kami. Kepandaian yang ada dalam kelompok menteri kerajaan saudara hanyalah untuk menyeksa, menzalimi dan mendera rakyat seperti kami.
Sukar sebenarnya menilai keikhlasan saudara dalam hal ini. Hanya apabila lebih 1.5 juta pemilik kenderaan mulai menyatakan muak dan mual dengan kerajaan yang ada, saudara barulah membuang sedikit dayus menegur kerajaan yang saudara puja-puja itu.
Tidakkah saudara tahu, berapa banyak sumpah telah diucapkan oleh rakyat yang tertindas oleh perbuatan kerajaan yang tidak pernah faham sejak dulu-dulu. Apabila rakyat mengkritik dan menegur, kerajaan mengambil sikap memekakkan telinga. Kini, saya yakin sumpah dan janji Allah untuk melindungi rakyat yang teraniaya semakin hampir. Ia bakal menjadi suatu kenyataan yang akan membuatkan kerajaan dan parti saudara menyesal sepanjang hayat. Sumpah kami rakyat yang dizalimi adalah untuk memastikan hancurnya sebuah dinasti kerajaan yang amat zalim dan amat kejam serta tidak berperikemanusiaan.