nuffnang ads

Thursday, August 5, 2010

DULU ADA PESTA MEMANGGIL DAN MENANGKAP BUAYA DI SUNGAI LINGGI.

DULU masa kecil-kecil, saya pernah dua tiga kali melihat pesta Memanggil dan  Menangkap Buaya di Sungai Linggi. Majlis itu dilakukan oleh pawang khas yang mempunyai kemahiran memanggil buaya datang ke tepi sungai sambil disaksikan oleh ramai orang, termasuk pengunjung dari luar. Buaya diberikan makan oleh pawang berkenaan dan interaksi yang berlaku antara pawang serta buaya ketika itu memang sesuatu yang menakjubkan. Buaya akan datang ke lokasi yang ditetapkan seolah-olah patuh pada panggilan si pawang.

Tanyakan tentang nostalgia pesta ini kepada penduduk lama di Kampung Pengkalan Kempas, Kampung Permatang Pasir dan Kampung Linggi. Semua boleh bercerita mengenainya dan mampu berkisah tentang kewujudan buaya termasuk yang berwarna putih (albino) di Sungai Linggi yang sehingga kini dianggarkan ada sebanyak 3,000 ekor.

Saya masih ingat, setiap kali pesta memanggil dan menangkap buaya berlangsung, jalan di kiri kanan berdekatan Kampung Permatang Pasir dan pekan Linggi yang dulunya adalah bangunan rumah kedai lama sentiasa sesak. Pernah satu ketika, pesta berlangsung dalam keadaan hujan begitu lebat sehingga menyebabkan jambatan di Sungai Linggi berdekatan pekan dinaiki air. Namun pesta memanggil dan menangkap buaya itu berlangsung begitu meriah.

 Namun kini tidak kedengaran lagi pesta Memanggil dan Menangkap Buaya itu dilakukan. Saya tidak pasti, dan kadang-kadang tertanya juga mungkin itu antara sebab begitu banyak buaya di Sungai Linggi "merajuk" dan membawa diri ke pantai menganjur dari laut Kuala Linggi ke sepanjang pantai Port Dickson. Cuma Menteri Besar sahaja mengatakan pantai Port Dickson tiada buaya!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10