nuffnang ads

Saturday, August 28, 2010

SIVARASA KATA PENGERUSI FELDA DAPAT RM2 JUTA SETAHUN, YUSOF NOOR BERAHSIA PULA

PERANG dakwaan antara Naib Presiden Keadilan, S Sivarasa dengan Pengerusi Felda, Yusof Noor berterusan dan semakin hangat. Sivarasa minta Yusof Noor jelaskan betul atau tidak pendapatan tahunannya RM2 juta. Kata Sivarasa kalau tidak betul, beritau berapa sebenarnya pendapatan Yusof. Oleh kerana didesak selalu, Yusof Noor pun menjawab pendapatan dia tidak sebanyak itu. Sivarasa tidak berpuas hati. Didesaknya lagi. Namun Yuof tetap memberitahu pendapatannya jauh lebih rendah daripada angka yang didakwa. Bila diminta beritahu berapa, Yusof tak mahu bercerita. Akhirnya jadilah perbalahan itu, pertikaian yang tiada akhirnya.

Sesekali saya rasa mahu tergelak. Ini macam mirip cerita seekor ayam bergilir makan padi di dalam kepok dengan seekor tikus. Ayam pun menuduh tikus telah makan banyak, tapi tikus di dalam kepok mejawab, dia makan sikit sahaja. Bila ayam tanya lagi, kalau sikit berapa banyak. Tikus pun ulang lagi. Kata tikus, dia baru makan sikit sahaja. Tapi ayam yang berada di luar kepok mula curiga. Dia tak nampak banyak mana tikus makan. Dia takut tikus berbohong dan didesaknya beberapa kali supaya tikus memberitahu sebanyak mana yang dia telah makan. Tikus tetap menjawab yang dia makan sedikit sahaja. Bimbang tikus berbohong, ayam dari luar kepok pun mengagak-agak berapa banyak yang tikus telah makan. Lalu dijeritnya kepada tikus di dalam kepok. "Engkau dah makan dua gantang ya?"

Tikus menjawab dengan selamba. "Aku makan tak sebanyak itu. Sikit aje!"  Maka disebabkan asyik bersoal jawab, maka tidak sedarlah ayam yang tikus telah berada di dalam kepok selama  seminggu. Bila genap seminggu, tikus pun keluar memanjat dinding kepok.

Kata tikus selamba, "Aku makan sikit saja. Sekarang kau makan pulak!" dia menyuruh ayam masuk ke kepok padi milik surau itu.

Demi masuk sahaja ke kepok, ayam pun pengsan. Ayam terkejut besar, dalam tikus cakap makan sikit sahaja rupaya tak sebutir padi pun yang tinggal lagi!

Harap-harap cerita ayam dan tikus ini tidak berlaku atau menyamai cerita Sivarasa dan Yusof Noor. Dua-dua pihak ada sebab untuk bertanya dan menjawab dengan cara masing-masing. Sivarasa ada hak bertanya, sebab sebagai pengerusi Felda, duit yang digunakan untuk membayar gaji Yusof Noor adalah milik orang ramai. Sebab itu, Sivarasa mahu tahu sangat sebab dia bimbang kepentingan ramai tak terjaga. Itu hak dia untuk bertanya, sementelah pula Sivarasa adalah ahli parlimen yang mewakili rakyat banyak.

Bagaimanapun, pada sisi yang lain, Yusof Noor juga ada rasional kenapa hanya menjawab tanpa butiran jelas. Yusof Noor hanya memberitahu pendapatannya tidak sebanyak M2 juta seperti didakwa Sivarasa. Bagai saya memang ada betulnya cara Yusof Noor. Tidak ada dalam peraturan menghendaki pengerusi Felda menjelaskan secara terperinci jumlah pendapatannya setahun kepada ahli parlimen. Itu memang jelas di segi prinsip yang Yusof Noor ada hak untuk tidak memberitahu jumlah pendapatannya.

Tapi kalau difikirkan semula, memang betullah itu merupakan prinsip. Bagaimana pula dengan segi moral? Apakah Yusof Noor tidak berasa bersalah kerana tidak menjelaskan butiran pendapatannya kerana Felda milik ramai. Orang banyak berhak tahu. Jadilah dilema kepada Yusof Noor. Di segi prinsip dia berhak diam. Tetapi di segi moral dia wajar bersuara. Maknanya ke depan kena, ke belakang pun terkena.

 Dalam keadaan Yusof kelihatan tersepit, Sivaras pula nampaknya semakin pandai menghimpit. Lambat-laun bocor jugalah berapa sebenarnya gaji Yusof Noor itu!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10