Walapun dulu dunia saya lebih fokus kepada berita penyiasatan dan jenayah, namun latar kehidupan dan hati budi dua artis terkenal tanah air kita, iaitu Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza tetap saya ambil tahu. Reti tentang perjalanan hidup mereka sebagai anak seni, bererti saya menghormati mereka, sama seperti saya mengkagumi allahyarham Sudirman.
Dan bila Berita Harian, Harian Metro dan media lain mengambil langkah bijak mengatur sesi fotografi sebagai formaliti bahawa kedua-dua mereka yang boleh dianggap telah memasyurkan dunia seni Melayu dan tanah air telah tiada sengketa, saya anggap itu satu tindakan yang menggambarkan kecerdikan yang amat murni di kalangan wartawan hiburan. Jasa untuk mengajak ke arah kebaikan itu tentulah ada ganjarannya.
Bagi saya, sama seperti kata Siti dan Sharifah Aini. Sebetulnya tiada persengketaan di antara mereka. Yang berlaku dan terjadi hanyalah tersilap duduk pada masa dan keadaan yang berbeza. Sebagai artis yang tentunya menjunjung peradaban anak Melayu, kedua-duanya bagai pepatah, air dicincang tak akan putus. Darah persaudaraan itu tetap mengalir dan tentunya peminat Siti dan Sharifah mendapat lagi berkat pada Ramadan yang mulia ini, apabila kedua-duanya santun membasahkan hati dengan lembut perasaan untuk menjernihkan suasana.
Lupakan gerhana musim lampau. Kalau ada kenangan pun, simpanlah yang manis-manis sahaja, Anda berdua mempunyai tugas yang belum selesai. Tunjukkanlah jalan sebenar perjuangan sebagai anak seni kepada mereka yang masih muda dan baru. Tunjukkanlah di mana lurah dan lembah, tebing dan tubir agar mereka tidak tersesat dalam perjalanan yang sentiasa disimbah cahaya keasyikan dan dunia glamour. Kak Pah dan Siti, anda hebat! Moga tiada lagi hati yang rusuh.