nuffnang ads

Thursday, August 19, 2010

KPN MESTI JELASKAN APA MAKSUD KEADAAN KESELAMATAN NEGARA SEKARANG KURANG BAIK.

SHAH ALAM: Ketika di satu majlis di Subang Jaya, semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ada dipetik sebagai berkata, pihaknya terpaksa melihat keadaan keselamatan negara terlebih dulu sebelum meluluskan cuti raya kepada anggota dan pegawainya.

"Berkenaan cuti polis, tengok keadaan dulu sama ada boleh diberikan cuti atau tidak. Jika keselamatan negara tidak baik, mereka semua tidak boleh bercuti termasuk saya.

"Pada pandangan saya KEADAAN SEKARANG TIDAK BERAPA BAIK. Oleh itu anggota polis perlu bekerja kuat lagi," demikian kata-katanya.

Timbul persoalan, keselamatan negara dalam konteks apa dimaksudkan Musa, sehingga katanya jika keadaan memaksa, beliau juga tidak boleh bercuti. Rakyat sudah pasti membaca kenyataan beliau dengan pelbagai tafsiran, apatah lagi ia keluar dari mulut ketua tertinggi sebuah unit penguatkuasaan undang-undang.

Apakah benar seperti khabar angin, konon akan ada satu lagi Operasi Lalang membabitkan penahanan pemimpin-pemimpin politik tertentu, atau apakah ia bermaksud  sekadar membayangkan kemungkinan kadar kemalangan jalan raya yang akan meningkat.

Dipercayai maksud keadaan negara yang tidak baik yang cuba disampaikan oleh Musa itu adalah berkaitan gelodak politik yang sejak akhir-akhir ini terutama membangkitkan parti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menunjukkan kecenderungan untuk berbahas secara terbuka hal berkaitan isu sensitif seperti perkauman. Dalam konteks keselamatan negara, inilah isu sebenarnya.

Bagaimanapun, apa juga tindakan yang sedang dirancang sebelum dan selepas raya,  rakyat berharap polis yang menjalankan amanah dapat melaksanakan tugas menjaga ketenteraman awam ini secara profesional dan telus berdasarkan merit dan hak di segi perundangan. Mengembalikan keamanan jika berlaku sesuatu di luar dugaan mesti menjadi objektif utama, tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan.

Selain itu, rakyat hanya mahu penjelasan, apakah benar keselamatan negara berada dalam keadaan kurang baik kerana ia boleh mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk menggugat urusan perniagaan dan ketidakstabilan dalam pentadbiran negara. Sementelah pula Musa sendiri mengesahkan keadaan di dalam negara berada dalam keadaan kurang baik. 

Musa mesti menjelaskan,walaupun tidak secara sepenuhnya maksud yang terkeluar dari mulutnya semalam. Rakyat tidak hairan jika akan ada Operasi Lalang atau Operasi Atas Pagar misalnya, tetapi mereka mesti sekurang-kurangnya telah difahamkan tentang senario keselamatan di dalam negara pada masa ini.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10