KERAJAAN Pakatan Rakyat (PR) Selangor, jangan terlalu terleka dan terlupa bahawa dalam setandan kelapa, tidak semuanya sempurna dan boleh digunakan. Paling tidak sebiji, mesti ada yang komeng, tidak berisi dan tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat pun.
Mengambil iktibar daripada pepatah itu, kerajaan Selangor diterajui PR tiada pilihan lagi. Umpama barah yang telah merebak dan tidak boleh dirawat. Cara paling berkesan adalah dengan memotong bahagian yang telah dijangkiti dan tindakan paling selamat dan bermaruah selepas itu ialah membuang bahagian yang sakit!
Kalau mahu mengikut kaedah ini, tindakan yang sama mesti dilakukan ke atas Adun Pandamaran, Ronnie Liu. Tindakan yang mesti diambil adalah buang! Imej yang dirosakkan gara-gara tingkah laku Ronnie sehingga mencetuskan kontroversi mesti diperbaiki dengan keberanian untuk bertindak. Maknanya Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak boleh berfikir banyak kali atau cuba mencari jalan untuk bertolak ansur. Gugurkan exco itu daripada portfolionya!
Malah, Ronnie yang digasak hangat oleh pemimpin dalam partinya sendiri termasuk penasihat DAP, Dr Chen Man Hin dan speaker Dun Selangor, Teng Chang Kim kerana isu surat sokongan yang ada kaitan dengan pembantu khasnya, Tee Boon Hock, mesti dipertanggungjawabkan di atas kerosakan yang telah berlaku.
Jika Tee boleh dipecat oleh menteri besar sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana menyalahgunakan kepala surat milik Ronnie, apa bezanya pula kalau Ronnie dipecat dari portfolio kerajaan negeri yang disandangnya. Ini kerana Ronnie telah gagal melaksanakan tugasnya mengawasi tingkah laku Tee yang juga pembantu khasnya. Malah tindakan keras ini penting sebagai rujukan bahawa dalam apa jenis pentadbiran sekalipun, tindakan tegas adalah noktah bagi segala keputusan.
Khalid mesti bertindak segera memecat Ronnie bukan kerana dia mengeluarkan surat sokongan itu, tetapi di atas sifat tanggungjawabnya yang gagal memantau dan menghalang kejadian itu daripada berlaku sehingga menimbulkan kecaman rakyat. Hakikatnya, kerosakan telah berlaku dan tidak boleh disorokkan lagi.
Dalam keadaan bertahan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tidak merampas semula kerajaan negeri menjelang pilihanraya akan datang, PR mesti berani memastikan Ronnie tidak berterusan menjadi liabiliti dalam kabinet pentadbirannya. Membiarkan dia terus memegang jawatan exconya dilihat tidak akan memberi apa-apa faedah, sebaliknya akan lebih banyak mengundang masalah.
Untuk sementara, walaupun dengan berat hati menteri besar mesti melupakan perasaan dan semangat setiakawan yang lebih bersifat peribadi kerana dalam mana-mana perjuangan pun, esprit de corps hanya akan terbentuk daripada rasa bertanggungjawab ahli kumpulan untuk tidak mencemar atau memudaratkan kumpulan yang dianggotainya.
PR tidak akan kehilangan sokongan sebaliknya akan menerima sanjungan rakyat kerana rakyat akan melihat tindakan tegas ke atas pemimpin bermasalah adalah sesuatu yang amat bermaruah, menepati konsep telus dan berkebajikan.