INDONESIA menjadi negara paling buruk rekodnya di Asia dalam usaha melindungi bahan-bahan intelektual apabila mendapat markah 8.5, menerusi kajian yang dilakukan oleh firma Political and Economic Risk Consultancy (Perc) berpusat di Hong Kong.
Laporan terbaru firma itu juga menyenaraikan Singapura sebagai negara terbaik apabila mendapat markah 1.5, diikuti Jepun (2.1), Hong Kong (2.8), Taiwan (3.8), Korea Selatan (4.1), Malaysia (5.8), Thailand (6.17), India (6.5), Filipina (6.84), China (7.9) dan Vietnam (8.4).
Indonesia juga dikatakan antara negara paling tinggi di dunia mencatatkan kadar cetak rompak bahan-bahan intelektual membabitkan perkakasan komputer, muzik dan filem.
Kajian dilakukan firma itu mendapatkan pandangan lebih 1,200 responden di seluruh Asia mengenai pelbagai pendapat tentang usaha yang dilakukan oleh negara-negara di Asia untuk melindungi hak intelektual secara keseluruhan.