nuffnang ads

Thursday, August 26, 2010

EMEL REZEKI DI SUBUH HARI

"Rezeki dia orang ya bang.." itu di antara kandungan emel seorang pemandu teksi yang mendakwa mengenali saya, lepas subuh tadi. "Jiran saya lagi untung. Empat bekerja kerajaan, ayah dia orang pulak pencen guru. Semua dalam satu keluarga ada 5...jadi satu keluarga tu aje dapat RM2,500 duit raya," sambung tulisnya dalam emel itu.

Dan saya pun mengakui dalam diam, memang rezeki orang. Kalau betul ikhlas kerajaan memberi bantuan khas untuk raya itu, saya fikir baguslah. Cuma sedikit terkejut bila menerima emel dalam sebuah keluarga ada lima orang yang layak dan keluarga itu mendapat jumlah yang agak banyak. Barangkali ada banyak lagi keluarga lain yang menerima habuan selumayan itu jika ahli keluarga mereka masih bekerja dan telah bersara dalam sektor kerajaan.

Pemandu teksi itu menghantar emel sebagai mengulas pengumuman kerajaan mengenai pemberian bantuan kewangan khas sempena raya yang disiarkan semalam. Kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi membuat pembayaran kepada mereka yang layak.

Ada bagusnya, sebab semua bayaran masuk ke saku rakyat sendiri. Kurang bagusnya, bila kerajaan pula kena belanjakan lebih RM2 juta sebulan untuk tampung kos makanan dan senggaraan kepada 6,845 banduan negara jiran yang kini dikatakan berada di dalam penjara di seluruh negara. Kos itu hanya anggaran kalau diletakkan RM10 sehari untuk membiayai setiap banduan berkenaan.

Maknanya, dalam setahun kerajaan menghabiskan duit lebih RM24 juta untuk menampung keperluan banduan asing itu di negara ini. Itu belum dicampur dengan kos membiayai banduan dari Bangladesh, Pakistan, Thailand, Afrika dan China.

Nampaknya, banyak duit negara mengalir ke arah yang kurang produktif. Macamlah kata-kata akhir emel yang saya terima, kalau duit sebanyak itu dibahagikan kepada rakyat negara ini untuk menubuhkan perniagaan dengan pemantauan mentor supaya menjadi jutawan dalam tempoh 5 tahun, kerajaan mungkin berjaya melahirkan l00 jutawan setiap tahun.

Sekurang-kurangnya, kerajaan berjaya memperbaiki kedudukan eknomi rakyatnya jika tidak banyak berlaku 'kecurian' kewangan buat menampung perkara-perkara yang tidak memberi keuntungan rakyat sendiri. Seperti kos yang terpaksa  dilepaskan membiayai banduan asing.

Kepada kakitangan kerajaan dan golongnan pesara diharapkan sumbangan kerajaan sempena raya dimanfaatkan sebaik mungkin. Kepada banduan asing pula, semoga mereka faham dan reti untuk berterima kasih. Dan kepada rakyat Malaysia yang tidak bekerja, bekerja sendiri dan mereka yang bekerja di sektor swasta janganlah cemburu. Rezeki ada di mana-mana.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10