NAMPAKNYA, mudah sangat kalau mahu mencabut nyawa orang di negara ini. Laras auto, kemudian picit picu pistol. Bedebammmm!
Mudah sangat. Sangat-sangat mudah. Hairan betul. Betul-betul hairan. Di negara yang mempunyai cukup polis untuk mengawal ceramah di tanah persendirian dan cukup polis untuk mengepung rakyat membakar lilin tanda protes, boleh demikian mudahnya berlaku kes tembak-menembak. Kes bunuh-membunuh. Semuanya semudah ABC. Semudah menyembur air berperisa pedih menggunakan 'water cannon' ke arah rakyat yang berhimpun secara aman!
Dalam kes terbaru di Kajang semalam, exco pemuda pusat MIC, A Kalaiarasu, tak cukup tanah berlari ke balai polis, apabila dia kena bedil dengan pistol ketika sedang minum. Nasib baik tak mati. Nasib baik betul. Betul-betul nasib baik, tak seperti beberapa kes sebelum ini yang ditembak dan tak sempat menyebut pisang!
Bila terjadinya kes semacam ini, siasatan lebih tentu menjurus ke arah siapa penembaknya. Kadang kala menjurus lebih fokus ke arah si penembak upahan. Soalnya, kenapa semakin tiada hentinya kes tembak menembak di negara ini? Soalnya kenapa semakin mudah pistol digunakan untk mencabut nyawa orang.
Nyata negara kita semakin tidak selamat. Mahu duduk-duduk minum pun boleh kena tembak. Boleh kena bedil. Berapa agaknya harga pistol di pasaran kita sekarang? Apakah harga pistol di negara kita sekarang lebih murah daripada harga lesen untuk memilikinya?
Itu soalan lain. Kita pergi kepada persoalan yang lain pula. Kalau orang tembak kita, apa maknanya? Mungkin orang salah tembak? Mungkin mahu menembak orang lain, tapi orang lain pula yang ditembaknya? Saya rasa kesalahan tertembak orang lain amat kecil kebarangkaliannya dalam sesuatu jenayah. Biasanya dalam jenayah, mangsa telah dikenalpasti terlebih dulu. Penjenayah pun ada perasaan juga. Mereka tak akan menembak orang lain yang tidak berdosa!
Maka dalam kes tembak ini, tentulah ada baiknya polis meluaskan sedikit fokus siasatannya ke atas orang yang kena tembak. Yang menembak tentulah jelas salahnya. Yang kena tembak itu macam mana? Kalau orang baik, kenapa kena tembak? Dalam sejarah dengki atau cemburu di negara ini, peratusan mangsa ditembak amat kecil sebenarnya. Orang kita kalau setakat cemburu atau dengki kepada orang lain, dia tak akan guna pistol untuk memuaskan hatinya. Paling kuat pun, dia tulis surat layang atau hantar sms ugut sikit-sikit. Tapi kalau sudah masuk bab kena tembak, itu sudah di luar hukum.
Maka, hendak atau tidak polis pun mesti siasat cukup-cukup mangsa yang kena tembak. Mana tahu dia bukan jenis orang baik. Bukan jenis orang tak berdosa. Bukan jenis orang perlu disayang. Manalah tau. Manusia hari ini macam-macam. Ada yang dapat duit banyak secara haram, kemudian buka bisnes untuk halalkan cara. Ada yang bapak penipu. Bila telah kenyang menipu orang, dia pun duduk surau dari malam sampai siang. Ada juga macam musang. Duduk berkawan dengan ayam dalam satu reban,
Siasatan ke atas orang kena tembak mesti meluas, sama seperti siasatan ke atas orang yang melepaskan tembakan. Apatah lagi dia orang politik. Kita bimbang, ada orang memasuki politik untuk melindungi kegiatan buruk masa lampaunya. Ini kita bimbang betul. Betul-betul kita bimbang. Bukan apa. Kita takut nanti, penuh dalam parti politik, rupanya orang yang semuanya berlatarbelakangkan penjenayah. Masa itu kita telah terlambat. Masa itu kita telah terlewat.