SHAH ALAM: Semua kuda diharamkan pergerakannya di seluruh negara serta-merta, ekoran bimbang berlakunya wabak dan infeksi bakteria yang dikesan membawa penyakit berbahaya pada kuda yang digunakan, terutama bagi tujuan pertandingan lumba dan perjudian di negara ini.
Berikutan pengharaman itu juga semua pertandingan lumba kuda yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh terdekat di Ipoh Perak pada 21 dan 22 Ogos serta 28 dan 29 Ogos depan turut dibatalkan.
Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang menjadi penganjur pada pertandingan di Ipoh itu dalam satu kenyataanya juga menegaskan semua pergerakan kuda adalah diharamkan bagi mengelak bakteria Streptococcus equi var equi itu daripada menular. Semua yang terbabit turut dirayu mematuhi arahan itu,
Menurut kenyataan itu, penemuan bakteria berbahaya itu pada sampel kuda yang diambil ketika berlangungnya perlumbaan di Ipoh beberapa hari lalu, membuatkan pelbagai pihak bimbang. Berikutan itu keputusan drastik mengharamkan semua pergerakan atau pertandingan yang telah dijadualkan terpaksa diambil, di atas nasihat jabatan veterinar.
Difahamkan juga, penemuan bakteria yang boleh membawa maut itu menyebabkan industri perjudian terjejas tetapi beberapa pihak dikatakan cuba menyembunyikan masalah yang sedang berlaku bagi mengelakkan kerajaan mengambil tindakan serius untuk jangka panjang yang boleh menyebabkan industri itu terjejak teruk.
Punca pengharaman pergerakan secara drastik itu dikatakan bermula apabila seekor kuda dikenali sebagai Sparkle Classic yang dibeli dengan harga RM30,000 pada 2008 dikesan positif membawa bakteria itu.
Menurut kenyataan Kelab itu lagi, kuda berkenaan mengalami kepanasan melampau pada 2 Ogos lalu dan kemudiannya demam berterusan selama empat hari. Pakar veterinar yang membuat pemeriksaan kemudian memaklumkan kepada pihak kelab bahawa diagnosis yang dilakukan menunjukkan kuda itu positif diserang bakteria berbahaya.
Difahamkan juga, ekoran pengharaman pergerakan kuda itu, beberapa persatuan, agensi dan orang perseorangan terpaksa mengambil langkah megkuarantinkan haiwan itu bagi mengelak dijangkiti Streptococcus equi var equi dan sekaligus boleh mengundang kerugian hingga berjuta ringgit.
Pada masa yang sama, langkah memastikan bakteria itu tidak menyerang manusia juga sedang diambil walaupun setakat ini belum ada kes bakteria yang dibawa kuda berkenaan menjangkiti mereka yang terbabit dalam pergerakan kuda seperti joki dan penjaganya.
Wabak serangan bakteria itu pernah dilaporkan belau pada tahun 2004, tetapi berikutan langkah segera diambil mengkuarantin dan mengharamkan pergerakan kuda, berjaya mengawal keadaan, walaupun beberapa kuda telah disahkan mati.
NOTA: Pada saya inilah antara balasan Tuhan kepada kita. Diberikannya penyakit pada haiwan seperti kuda dan tikus untuk memberi petunjuk bahawa kita ini terlalu lupa kepadaNya.