DUNIA politik bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo, dipercayai semakin kabur dan suram selepas kekalahan memalukan Barisan Nasional di Selangor, apabila menyaksikan Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran dalam apa yang dikenali sebagai puting beliung dan Tsunami politik.
Adalah dipercayai, beberapa pihak yang berasa terhina ekoran tindak tanduk dan tingkah laku 'luar biasa' Khir semasa menjadi menteri besar telah bersumpah dan memohon kepada Allah agar dijatuhkan hukuman setimpal ke atasnya, terutama membabitkan masa depan politiknya.
Difahamkan, antara tingkah laku paling hina dilakukan oleh Khir ialah menganugerahkan Anugerah Penyapu kepada seorang Yang DiPertua pihak berkuasa tempatan. Tindakan itulah dikatakan tindakan paling hina yang dirasai oleh kebanyakan orang Melayu di Selangor.
Walaupun penerima penyapu berkenaan menerima pemberian Khir secara berhemah dan bersantun, namun terdengar suara kebelakangan ini mengatakan rupanya ada orang tua-tua Melayu snaggup memohon kepada Allah agar ditunjukkan hukuman kepada bekas menteri besar itu.
Tindak-tanduk Khir yang semakin angkuh dan bongkak dalam beberapa perkara ketika menjadi menteri besar juga menyebabkan orang Melayu di Selangor sebenarnya berkecil hati sehingga kini. Malah keangkuhannya jelas apabila beliau berazam mahu memastikan Selangor Sifar Pembangkang, cadangan yang hakikatnya tidak dipersetujui pemimpin atasan UMNO ketika itu.
Malah tindakan merobohkan kuil juga mencetuskan fenomena sumpah di kalangan rakyat Selangor yang ada di antaranya berharap masa depan politik Khir dipenuhi dengan pelbagai peristiwa malang dan memalukan. Malah kontroversi pembinaan 'banglo'nya dikatakan menjadi antara kesan terawal daripada 'sumpah' rakyat di Selangor ke atasnya.
Dijangkakan banyak generasi tua yang terhina dengan perbuatan Khir selama menjadi menteri besar dulu akan memohon 'hajat' agar beliau terus disisihkan dari politik Selangor, sekaligus membawa petanda UMNO yang diperjuangkannya akan turut menerima tempias. Ini juga dikatakan berpunca daripada tindakan Khir dalam beberapa siri ceramahnya yang dikatakan memalukan orang Melayu seperti isu orang Melayu paling ramai jadi gangster di Selangor.