KERAJAAN mengumumkan pemberian bonus RM350 kepada setiap peneroka Felda beberapa hari lalu. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri bertanggungjawab ke atas Felda dan Pengerusi, Tan Sri Yusof Noor, pula dengan riak dan bangga menyifatkan pemberian itu sebagai isyarat dan gambaran jelas yang Felda tidak bankrap. Maka ramai juga terpedaya mendengar kata-kata yang muluk itu.
Anehnya, bekas Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada Felda, Dr Tan Kee Kwong, tiba-tiba membuka segala pekung di sebalik pemberian bonus dan dakwaan menteri yang mengatakan Felda mempunyai banyak wang. Kata Dr Tan, Felda masih berhutang RM3 bilion dengan kerajaan dan amat menghibakan ialah sebahagian besar daripada pinjaman itu datangnya daripada dana rakyat yang tersimpan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kenyataan Dr Tan, tentulah boleh diterima tanpa ragu berdasarkan kedudukannya sebagai bekas Timbalan Menteri yang mengetahui perjalanan Felda sebelum ini. Katanya, kesemua pinjaman itu tidak lagi berbayar dan Felda sebenarnya berdepan masalah kesulitan menjelaskan pembayaran kerja kepada kontraktor yang dilantik.
Pendedahan Dr Tan ini tentulah aneh dan pelik. Pertama, Felda mendabik dada memberitahu rakyat seantero dunia kononnya organisasi itu mempunyai wang mencukupi. Kalau benar, kenapakah pinjaman sebegitu banyak terpaksa dibuat daripada kerajaan dan lebih merisaukan, pinjaman itu juga belum dijelaskan. Hal kedua yang perlu dibangkitkan ialah kenapa begitu mudah kerajaan meluluskan pinjaman kepada Felda sedangkan sebahagian pinjaman itu adalah milik rakyat dari dana KWSP. Apakah kerajaan Barisan Nasional boleh sewenang-wenangnya memberikan wang terkumpul di dalam KWSP untuk membantu sesebuah organisasi yang hanya memberi pulangan dan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja. Bagaimana nasib penyimpan KWSP yang bukan peneroka Felda? Wang mereka yang digunakan untuk pinjaman yang masih belum dijelaskan itu, kalau dilaburkan dalam perniagaan lain, tentu membawa pulangan yang begitu besar.
Itu tidak mengapa lagi. Selepas dana KWSP dipinjam, kerajaan BN boleh pula mengambil peluang mencuri merit dengan memberi bonus kepada peneroka Felda sebanyak RM350 seorang. Konon itu keuntungan Felda. Bukankah kalau betul ia keuntungan Felda, wang yang sedemikian banyak seeloknya dibayar semula kepada KWSP kerana ia adalah wang yang dipinjam daripada tabung simpanan itu. Pada masa yang sama kita juga, tertanya-tanya. Kalau peneroka mendapat habuan sempena raya, penyimpan KWSP dalam keadaan ini dapat apa? Sedangkan Felda menggunakan simpanan mereka. Najib, Yusof Noor dan Ahmad Maslan seharusnya malu dengan apa yang mereka cakap dan buat. Kata orang, cakap tak serupa bikin!