TERTARIK dan sedih membaca kenyataan Datuk Khatijah Ibrahim, tentang keluhannya berdepan kesukaran mendapatkan logo halal untuk kegunaan restorannya.
"Memang sukar untuk mendapatkan logo halal. Siapa yang sembelih ayam, daripada mana sumbernya, semua itu diambil kira. Bukan restoran di Kuala Lumpur sahaja yang menghadapi kesukaran, sebaliknya premis di luar bandar juga berdepan masalah sama" demikian antara luahan bekas penyanyi itu berhubung birokrasi mendapatkan logo halal di negara ini.
Peliknya, dalam begitu sukarnya pengusaha restoran Melayu dan Islam mendapatkan logo halal, terdapat sekian banyak restoran bukan Islam yang begitu berani menampal logo halal pada dinding premis mereka.
Persoalan asas yang ingin ditanyakan kepada kerajaan, terutama JAKIM, agensi yang diberi tanggungjawab mengeluarkan logo itu ialah, kenapakah tidak diberikan keistimewaan kepada restoran milik Melayu Islam dalam permohonan mendapatkan logo halal itu? Barang tentulah mereka itu Islam dan tidak logiklah mereka mahu menyediakan makanan tidak halal sedangkan mereka sendiri tidak boleh menyentuhnya.
Jika kerajaan masih meragui sumber datangnya bekalan makanan seperti ayam dan daging sehingga menjadikan itu sebagai alasan untuk melengah-lengahkan pengeluaran sijil logo halal, tidak adakah jalan penyelesaian lain supaya masalah bekalan makanan dari sumber haram diatasi segera dan tidak dibiarkan menjadi masalah turun temurun di negara ini.
Pepatah ada memberitahu, kalau mahu seribu daya. Kalau tak mahu seribu dalih. Apatah lagi dalam hal halal haram makanan yang disediakan di restoran di negara ini. Bukankah negara kita Islam? Bukankah kerajaan kita ada UMNO yang pemimpinnya Melayu Islam. Tidak bolehkah kita wujudkan satu ladang atau satu pusat bekalan ayam atau daging berskala besar yang diuruskan sepenuhnya oleh umat Islam? Yang boleh memenuhi keperluan pengusaha restoran di negara ini. Dengan penguasaan sepenuhnya umat Islam dalam soal pembekalan ayam atau daging, masalah halal haram mungkin dapat diatasi sepenuhnya.
Ini tidak bermakna, orang bukan Islam tidak boleh mengusahakan ladang ayam atau ternakan daging. Mereka boleh bebas berniaga mengikut sistem demokrasi dan kapitalis yang sedia ada. Cuma syarat mesti dikenakan, jika pengusaha restoran mahu menjual atau menyediakan makanan halal dan sekaligus memperolehi sijil itu daripada JAKIM, mereka mesti mendapatkan bekalan daripada pusat bekalan ayam dan daging halal yang ditubuhkan oleh kerajaan. Pada masa yang sama pengusaha ladang ternakan ayam atau daging bukan Islam tidak mungkin terjejas perniagaan mereka kerana masih boleh menjual ayam dan daging terus kepada restoran bukan Islam tanpa syarat atau halangan.
Selepas 53 tahun merdeka, kenapa kerajaan masih gagal memikir untuk menyelesaikan masalah makanan halal haram di negara yang Islamnya menjadi agama rasmi. Peri banyaknya agensi berkaitan Islam yang boleh memikul tugas kefarduan ini
seperti Baitulmal atau Pusat Zakat. Tidak terfikirkah peneraju agensi berkenaan untuk menggembeleng tenaga dengan kerajaan 'mengeksklusifkan' ayam dan daging dalam cabang perniagaan mereka? Apakah sudah tidak ada pemikir berorientasikan perniagaan dalam kerajaan dan agensi keislaman itu sehingga masalah makanan halal haram di restoran menjadi lelucon di kalangan masyarakat bukan Islam?
Bagaimana rakyat mahu memberi perakuan bahawa BN sebuah kerajaan yang berkemampuan mentadbir negara jika sehingga kini masih terlalu banyak masalah berkaitan kepentingan Islam tidak dapat diselesaikan, walaupun sesetengah masalah itu hanyalah sebesar hama.Seperti juga masalah batu nisan yang kebelakangan ini dikuasai oleh bukan Islam. Tergamakkah kita ditertawakan orang? Sedar-sedarlah wahai pemimpin jangan sampai rakyat muak dan mual setiap kali BN mendakwa dialah satu-satunya kerajaan yang mampu memimpin negara ini!
"Pandangan Khatijah Ibrahim dipetik daripada Berita Harian 8 Ogos)