HARI INI marilah kita bersembang mengenai satu perkataan yang sering dilafazkan manusia terutama ketika mahu mengukuhkan kata-katanya terhadap sesuatu atau ketika mahu mempertahankan diri daripada tuduhan yang dilemparkan. Istilah yang dimaksudkan itu ialah SUMPAH.
Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, SUMPAH bermakna pengakuan yang dibuat (dengan bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci). DIMAKAN SUMPAH pula merujuk kepada menderita (sakit atau lain-lain) kerana membuat sumpah bohong.
Kamus yang sama juga menjelaskan bahawa BERSUMPAH pula bermaksud menyatakan kebenaran tentang sesuatu perkara dengan mengangkat sumpah atau berjanji sungguh-sungguh akan melakukan atau mematuhi sesuatu.
Perkataan BERSUMPAH-SUMPAHAN pula maknanya saling melakukan sumpah. Sementara itu, MENYUMPAH bererti mengucapkan sumpah dan MEMPERSUMPAHKAN diertikan sebagai membuat sesuatu kenyataan dengan sumpah atau bersumpah.
SUMPAH juga kalau disebut dua kali akan bertukar menjadi CALOTES CRISTATELLUS satu hidupan yang biasanya berwarna hijau dan berupaya menukar warnanya mengikut persekitaran. Bagaimanapun, SUMPAH tidak ada kena-kena dengan SAMPAH atau SEMPAH.
Dalam banyak perkara, manusia sememangnya takut kalau DIMAKAN SUMPAH. Maka oleh kerana takutkan dimakan sumpah, manusia adalah dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenang BERSUMPAH hanya untuk melindungi daripada keaiban akibat daripada perbuatan buruk yang disebut-sebut orang.
Perbincangan mengenai perkataan sumpah ini sememangnya menarik kerana ada manusia gemar bersumpah dengan apa yang dikenali sebagai SUMPAH LAKNAT. Mengikut hukum takdir, Allah berkuasa menjatuhkan laknat kepada mereka yang membuat sumpah itu jika terbukti apa yang disumpahnya rupa-rupanya adalah satu pembohongan. Dan Allah juga Maha Mengetahui dan boleh berbuat apa sahaja mengikut kuasaNya kalau itu adalah pengajaran yang mahu Allah berikan kepada mereka yang berbohong ketika bersumpah.
Percayalah Allah tetap ada dan pasti melindungi hambaNya yang teraniaya. Allah juga Maha Berkuasa. Kalau mahu dibuktikan sesuatu pembohongan di sebalik sumpah yang dilafazkan, tunggu sahajalah. Akan datang pembalasan dan pengajaran untuk kita. Mungkin dalam tempoh terdekat?!