nuffnang ads

Sunday, August 8, 2010

KENALI PEMIMPIN ANDA. CAP AYAM? CAP GAYUNG? CAP KAPAK? ATAU CAP KAPAL?

PEMIMPIN cap ayam, pemimpin cap gayung dan pemimpin cap kapak? Kenapa ketiga-tiga jenis pemimpin itu sangat-sangat tidak dihormati orang dan kenapa juga ketiga-tiganya sering menjadi bahan senda dan lawak jenaka masyarakat sehingga kadang kala membuatkan golongan bawahan terbahak-bahak berperang melawan gelak?

Kalau dikutkan kamus pengalaman, pemimpin cap ayam boleh didefinisikan sebagai pemimpin yang gagal melepasi ujian kepemimpinan, tetapi dek kerana kuat sangat berkokok dia dizinkan juga masuk ke dalam parti menerusi pintu belakang. Kelebihannya menggunakan taji, termasuk menaji kawan-kawan separti menyebabkan pemimpin cap ayam ini digeruni. Namun berdasarkan pengalaman juga, pemimpin cap ayam biasanya tidak sempat menikmati puncak kekuasaan yang selalu sangat diidamkannya. Dia biasanya akan berakhir sebagai korban, terutama menjelang sesuatu musim perayaan!

Pemimpin cap gayung pula mempunyai personaliti dan keistimewaan yang berbeza yang kerjanya sentiasa menceduk walaupun mengetahui telaga atau perigi itu adalah milik orang! Disebabkan sentiasa berkawan dengan air, pemimpin cap gayung ini juga selalu digelar pemimpin kuyup lokos. Biasanya pemimpin ini sukar diramalkan nasibnya kerana kebanyakan mereka yang satu spesies dengannya sering ditemui lemas di dalam telaga buta!
 
 Pemimpin ketiga yang digelar pemimpin cap kapak adalah pemimpin yang celik mata tetapi mempunyai hati yang buta. Mereka yang jenis ini tidak boleh diberi peluang apa sekalipun kerana sifat semulajadinya yang suka menakik! Sebab itu di dalam partinya, dia didudukkan jauh daripada pemimpin lain hatta di dalam mesyuarat majlis tertinggi sekali pun kerana sifatnya yang suka mengapak kawan-kawan, apatah lagi rakyat bawahan demi mencari pujian dan keuntungan.

Cuba pilih beberapa pemimpin yang anda kenal dan cuba kelaskan mereka mengikut klu dan pelabelan yang diberikan. Jika mereka tidak termasuk dalam ketiga-tiga katogeri itu jangan disangka mereka adalah pemimpin sebenar. Mungkin juga pemimpin ini tergolong dalam satu lagi kelas istimewa yang dirizabkan sebagai pemimpin cap KAPAL! Mereka ini suka terbang dan menyelam dan amat sensitif dengan kapal selam serta kapal terbang. Mereka ini biasanya bukan tidak takut dengan golongan wanita, sebaliknya wanita yang tidak takut dengannya!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10