BERKUATKUASA SELEPAS diluluskan kabinet semalam, semua pesalah yang terbabit dalam kes membuang bayi akan berdepan hukuman gantung sampai mati, apabila kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh atau dengan niat membunuh mengikut seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan.
Menteri berkaitan, Sharizat Abdul Jalil ketika mengumumkan keputusan kerajaan, turut menjelaskan berikutan perubahan itu kes buang bayi kini tidak lagi diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 Akta kanak-kanak yang hanya memperuntukkan hukuman penjara.
Bagaimanapun, sejurus sahaja Sharizat mengumumkan hukuman bunuh kepada pembuang bayi itu menerusi media elektronik, satu lagi kes buang bayi dilaporkan di Jeli, Kelantan apabila ,mayat seorang bayi ditemui tidak jauh dari tangki najis sebuah kolej teknikal. Ia seolah-olah memberi isyarat kepada Sharizat yang hukuman mati belum tentu menyelesaikan masalah yang berterusan menjadi daki sosial masyarakat kita itu.

Keputusan tegas kerajaan itu walaupun dilihat agak terlewat tetapi tetap dialu-alukan pelbagai pihak terutama selepas mendapati trend jenayah buang bayi yang dikatakan semakin meningkat seperti dilaporkan di dalam akhbar sejak kebelakangan ini gagal ditangani kerajaan sepenuhnya.
Desakan dan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan masyarakat sendiri dikatakan faktor paling kuat mempengaruhi kerajaan membuat keputusan drastik itu.
Bagaimanapun, selagi sistem kekeluargaan dan nilai-nilai Islam tidak diterapkan dalam masyarakat, terutama generasi muda hari ini, hukuman gantung itu mungkin tidak banyak memberi kesan seperti juga hukuman gantung mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang dikenakan kepada pengedar dadah. Selepas berpuluh tahun diperkenalkan, masalah dadah masih menjadi masalah ruji dalam santapan hidup kita.