WAJAR dan memang wajar. Wajar betul dan betul-betul wajar pakar dan jurutera negara Islam bersatu menghimpun idea dan kepakaran masing-masing bagi memecah masalah kebergantungan umat Islam dalam banyak hal kepada orang lain. Begitu jugalah dengan masalah telefon pintar yang sedang mencetuskan satu fenomena baru dalam kawalan keselamatan sesebuah negara.
Kalau dulu bom kimia dan nuklear dianggap senjata paling berbahaya, terutama kerana ia dimiliki dan digunakan oleh majoritinya negara bukan Islam, namun kini satu lagi cabaran didepani oleh negara-negara Islam yang masih lemah. Telefon pintar!
Kecanggihan telefon pintar yang mampu mengumpul maklumat TANPA disedari oleh pihak yang menjadi sasaran, dikatakan telah lama dan banyak menguntungkan pihak yang memusuhi negara Islam. Melalui kecanggihan sistem yang dicipta banyak kegiatan atau aktiviti yang baru dirancang oleh sesuatu pihak, diketahui juga oleh pihak yang lain. Ini kerana maklumat itu tiris apabila mereka yang terbabit dalam perancangan rahsia menggunakan telefon pintar ciptaan negara bukan Islam. Maklumat yang terlepas itu disalurkan kepada satu pangkalan dan di sinilah segalanya bermula.
Ada pihak mengambil kesempatan menapis dan mencerakin maklumat penting itu. Kalau ia dilakukan oleh negara musuh, maklumat yang diperolehi dijadikan bahan bantu dalam perancangan mereka mengalahkan negara musuh. Jika ia dilakukan oleh penjenayah atau pengganas, musibahnya lagi berat. Kumpulan pengganas ini dengan senang melakukan sabotaj dan akibatnya, tiada mana-mana negara akan terselamat.
Sehubungan itu, demi mengambil langkah berwaspada, adalah wajar pakar dalam bidang komunikasi Islam bertindak segera melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya mencipta penapis maklumat atau sebaiknya mencipta satu teknologi telefon pintar yang dapat digunakan oleh negara-negara Islam. Sifat terlalu bergantung kepada orang lain kini telah bertukar menjadi perbuatan menyerah tengkuk untuk dipancung orang.