Walaupun pahit berkata benarlah. Selalu dikatakan bijak pandai sedemikian. Maka demi mengelak lebih banyak spekulasi dan andaian berhubung kematian bekas Adun Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh dan Naib Ketua Umno bahagian Tanjung Karang, elok motif pembunuhan kes "Bunuh dan Bunuh Diri' itu dijelaskan.
Saya kurang bersetuju dengan pandangan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, yang membuat pengumuman berkenaan siasatan kes kematian misteri itu. Ini kerana beliau memaklumkan bahawa motif pembunuhan itu telah diketahui dan tiada keperluan untuk dimaklumkan kepada orang lain kerana ia tidak melibatkan pihak ketiga. Malah kes itu pun telah selesai diklasifikasikan sebagai Bunuh dan Bunuh Diri. Malah beliau berharap orang ramai tidak membuat andaian yang bukan-bukan berhubung motif kejadian itu.
Ini yang saya kurang setuju. Macam mana kita boleh menghalang orang ramai membuat andaian sedangkan mereka tidak dimaklumkan tentang motif kejadian itu. Orang ramai tertanya-tanya, sedangkan polis yang tahu motifnya tidak mahu berhebah. Perlu dijelaskan, kes ini berprofil tinggi dan orang ramai berhak mengetahui motifnya.
Walaupun pahit kita mesti berkata benar. Kita tidak bertujuan mengaibkan sesiapa, tetapi kita berhak mengetahui motifnya supaya tidak mendengar andaian yang bukan-bukan yang tidak tepat dan tidak sahih. Hak orang ramai ialah menerima maklumat yang jelas dan betul. Hak ini tidak boleh diperlekehkan. Soal sama ada ia menimbulkan kesan baik atau buruk selepas orang ramai mengetahui motifnya biarlah itu menjadi persoalan antara masyarakat dan Allah.
Sudah tentulah motifnya buruk. Namanya pun bunuh diri. Jadi sudah tentulah juga hal-hal buruk tidak boleh dielakkan. Percayalah bau bangkai satu hari akan menerjah hidung juga, walaupun ditutup dengan tudung saji. Sehubungan itu, diharapkan polis telus dan melepaskan beban merahsiakan motif itu dengan memaklumkannya kepada media. Berkata benarlah, walaupun pahit. Kepada orang ramai, bersedialah menjadi masyarakat yang rasional. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Cuma kepada pemimpin parti tuuu...belajarlah daripada kejadian.
NAIK GACKO PERGI KE LAUT
JUMPA POK-KE DI TENGAH JALAN
HARAP-HARAP TAKDOLAH YANG MENGARUT
BERCERITO TENTANG SEBUAH KEMATIAN