LAPORAN dalam sebuah akhbar mingguan minggu lalu menyatakan MAYA KARIN DAN REMY ISHAK dikatakan bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jakarta Indonesia. Menurut wartawan yang menulisnya, kebetulan dia ada di sana dan selepas dimaklumkan seseorang tentang kehadiran MAYA DAN REMY di situ, dia kononnya bergegas bawa semua peralatan perangnya untuk merakam bukti. Tapi sampai akhirnya, dia tak jumpa.
Gosip itu macam ikan masin masam, macam juga melukut di tepi gantang. Ditulis tak ada nilai, tak ditulis lagilah baik. Dan hari ini HARIAN METRO menyiarkan kenyataan Maya Karin dalam ruangan Selebriti.
Kata Maya, 100 peratus apa yang ditulis oleh wartawan sebuah akhbar itu adalah bohong kerana hakikatnya dia ada di utara tanah air sibuk dengan penggambaran Ombak Rindu. Remy pula terikat dengan penggambaran drama Air Mata Nur Salina di sekitar Kuala Lumpur.
"Fokus saya hanya pada kerja, tiba-tiba keluar cerita mengarut," beritahu Maya.
Barangkali kerana ada geram dalam hati agaknya, Maya mencabar sumber yang menyampaikan cerita tidak berasas itu tampil memberi penjelasan. Dia mahu bertentang mata dengan harapan khabar angin ini dapat dinoktahkan secepat mungkin.
"Saya nak jumpa sangat dengan sumber itu. Saya hairan kenapa dia tergamak menyebarkan certa palsu itu dan apa motifnya. Sebelum ini saya pernah digosipkan dengan VVIP tetapi tiada pun gambar kami...." demikianlah luahan hati Maya kepada wartawan Harian Metro Shakilawati Abd Rahman.
Pak cik fikir beginilah Maya. Tulikan telinga sebab Maya pun tahu ada 1001 jenis manusia yang mahu tahu tentang dunia artis ini. Ada yang pelat, ada yang sengau, ada yang tempang, ada yang biasa-biasa, ada yang cakap sorang-sorang. Selagi Maya rasa apa yang Maya buat betul, jangan rasa bersalah.
Cuma nak tambah satu. Awak tu cantik. Itu fasallah orang lelaki suka sangat nak ambil tahu. Lepas jadi janda rupanya lagi cantik. Macam duit kertas kena frame dalam cermin! Maya janganlah pula hanyut dalam pujian. Lagi satu, kalau tak ada apa-apa janganlah layan sangat si Remy tu. Jangan beri ruang untuk ada orang kelihatan sama ada kamu atau Remy leser meleser. Cukup. Dengan cara itu, orang tak ada peluang untuk cari salah.
Maya tahu tak? Masa pak cik jadi wartawan dulu, pak cik pun banyak jumpa orang yang bertanyakan seorang artis yang masa itu tengah meletup sangat. Nak dijadikan cerita seorang mamat tu, hampir setiap hari tunggu saya turun dari pejabat semata-mata mahu bertanyakan kisah artis berkenaan sambil desak-desak minta tolong dapatkan nombor telefon. Saya bagitau dia yang saya wartawan jenayah dan bukan wartawan hiburan. Saya tak tahu banyak fasal artis. Tapi dia asyik buat muka biawak kenyang. Maka satu hari tu, bila dia datang ajak saya minum bawah pokok ceri depan bangunan NST Jalan Bangsar, saya pun buka cerita untuk usir mamat tu dari terus bertanyakan fasal artis berkenaan. Begini caranya, Saya bagitaulah mamat tu yang saya baru dapat berita yang artis berkenaan rupanya hanya nampak cantik di luar tapi di dalam telah porak peranda. Saya bagitau dia sebelah payudara artis itu telah dipotong kerana barah, manakala di perutnya pula ada kesan dibedah macam rel keretapi kerana apendiksnya pecah. Nak tambah sedap cerita lagi, saya pun bagitau mamat tu yang sejarah artis itu rupanya amat menyedihkan. Dia pernah menggugurkan tiga anak selepas tamat tingkatan lima dan kini tak ramai orang tahu yang dia terpaksa makan ubat setiap hari untuk penyakit berbahaya yang dihidapinya, Nah engkau....habis dengar cerita itu, mamat yang asyik nak minta nombor telefon artis berkenaan, terus teguk air kopi dalam cawan macam peluru masuk kerongkong. Dia bangun dan tolong bayar. Lepas salam dia angkat kaki. Sejak itu saya tak jumpa dia lagi. Maafkan pak cik kerana berbohong, tapi adakah cara lain untuk tidak terus diganggu?