nuffnang ads

Saturday, August 28, 2010

MATLAMAT MENGHALALKAN CARA TAK BERUPAYA MEMPENGARUHI RAKYAT

PENGGUNAAN kaedah matlamat menghalalkan cara, semata-mata mahu mendapatkan keuntungan atau merit politik yang dilakukan oleh parti Umno mesti dihentikan kalau mahu melihat rakyat menghormati dan mengekalkan keyakinan terhadap perjuangan parti itu.

Beberapa insiden kebelakangan ini yang digunakan Umno untuk meraih sokongan rakyat, terutama membabitkan isu agama dan perkauman, khusus didokongi oleh laporan akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia seperti isu khutbah di Pulau Pinang dan isu Tazkirah Ahli parlimen Serdang di surau Kajang, mesti dihindarkan.

Ini kerana permainan matlamat menghalalkan cara, yang diumpan oleh media sebelum cuba dilibas oleh Umno ternyata hasilnya banyak tersangkut ke jaring dan tidak ke dalam gelanggang lawan. Rakyat yang menjadi penonton permainan kotor ini, tentunya bertepuk tangan, bukan kerana menyokong tetapi mengejek dengan taktik yang diamalkan parti memerintah.

Mempertahankan bahawa semua isu yang dibawakan oleh Utusan Malaysia adalah benar dan tidak palsu, adalah suatu cara mempertahankan diri yang amat tidak betul oleh Umno kerana rakyat melihat kebenaran sebenar isu berkenaan dari sisi yang amat luas. Isu penggunaan nama bukan Islam di dalam rumah ibadat muslim misalnya kini tidak dilihat oleh rakyat sebagai isu jalan sehala. Mereka kini tidak tertarik untuk mempercayai isu itu lebih kepada isu penghinaan agama atau penghinaan kaum. Ini kerana, setiap kali isu yang dimainkan oleh Utusan Malaysia, isu berkenaan didatangkan secara longgar di segi asas kesalahan seperti yang didakwa Umno.

Mendakwa isu itu menunjukkan parti pembangkang sebagai sebuah parti yang tidak pernah menghargai kemuliaan rumah ibadat orang Islam misalnya, adalah salah pada pandangan rakyat terbanyak. Dalam isu terbaru misalnya, laporan Utusan Malaysia lebih menekankan kepada penghinaan akibat perlakuan seorang bukan Islam berada di dalam rumah ibadat, sedangkan realitinya si tertuduh langsung tidak mempunyai niat berkenaan, sebaliknya berada di situ atas jemputan untuk menyerahkan cek sumbangan. Malah penggunaan kata-kata tazkirah yang digunakan oleh Utusan Malaysia, menyebabkan rakyat semakin loya kerana tidak ada kaitan langsung bagi mereka seorang bukan Islam mahu memberi tazkirah kepada umat Islam ketika di majlis yang sama turut dihadiri oleh orang Islam seperti imam dan bilal yang lebih tinggi ilmu agamanya. Di sinilah bermulanya keyakinan rakyat semakin terhakis kerana mereka melihat berlaku ketidakmunasabahan daripada laporan akhbar dan kenyataan pemimpin Umno. Rakyat khususnya orang Melayu Islam masih percaya, tidak ada orang Islam yang ada ilmunya membuat satu majlis bodoh dengan menjemput orang bukan Islam mengendalikan tazkirah di rumah ibadat mereka.

Umno dan Utusan Malaysia harus meletakkan daya dan tahap intelektual mereka di paras yang boleh dihormati dalam soal ini kerana tahap ientelektual rakyat juga sudah semakin tinggi. Mereka tidak boleh diperbodohkan dengan laporan berita cap ayam atau cap gayung. Selagi ini tidak difahami oleh Utusan Malaysia dan Umno, selagi itulah tahap hakisan keyakinan orang Melayu terhadap perjuangan parti itu semakin meluas dan melebar. 

Malah kalau Umno melihat semua laporan Utusan Malaysia ini sebagai senjata boleh membantu melemahkan parti pembangkang, mereka sebenarnya telah membuat satu keputusan yang amat silap. Ini kerana rakyat bukan sahaja tidak mempercayai, malah tahap kepercayaan mereka kepada laporan akhbar itu pada masa depan semakin tiada langsung. Sebaliknya mereka lebih rasa bersimpati ke atas bukan Islam yang dituduh-tuduh, kerana mereka melihat Islam adalah sederhana dan tindakan akhbar atau Umno membelasah atau memperlekeh bukan Islam hanya dilihat sebagai satu tindakan yang tidak menggambarkan Islam itu berkonsepkan kasih sayang.

Ini dapat dirumuskan berdasarkan dua isu yang dibawa oleh Utusan Malaysia sejak kebelakangan ini. Jika ada pun kesalahan yang berlaku dalam kedua-dua kes itu adalah kecuaian dan tidak disengajakan, tetapi tidak pula sampai ia boleh dijadikan satu keputusan untuk menghukum bahawa parti pembangkang atau rakyat sanggup menggadai agama. Tertuduh bukan Islam dalam kes ini silap kerana berada pada masa dan keadaan yang tidak betul. Lagi pun bukan mereka yang mahu berada dalam masa dan keadaan begitu!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10