KUALA LUMPUR: Cerita lembaga menyerupai seseorang yang mengganggu anggota di Balai Polis Betong, Sarawak dan lembaga yang merayau menyakat anggota di sebuah balai di Lembah Klang, selepas seorang wanita dimasukkan lokap seperti dilaporkan Harian Metro baru-baru ini, bukan cerita sekadar cerita sebenarnya.
Pengalaman saya bertugas sebagai wartawan jenayah dan sering bertugas malam menziarahi balai dan bilik mayat di sekitar ibu kota dulu untuk mencari berita, seakan mengakui bahawa dakwaan anggota polis yang mereka diganggu dengan lembaga menakutkan di beberapa balai polis seolah-olah ada benarnya.
Salah satu pengalaman yang saya lalui ialah sekitar tahun 1993, ketika itu saya bertugas malam kerana menyertai operasi Pasukan Polis Hutan (sekarang PGA) dan IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur. Ketika itu IPD Dang Wangi berada di tapak bangunan lama sebelum berpindah ke bangunan di depan Stadium Merdeka seperti sekarang.
Satu kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi. Ketika itu lebih 50 pendatang tanpa izin sedang menjalani proses dokumentasi di padang sepak takraw IPD Dang Wangi. Rakan jurugambar pula sibuk merakamkan gambar, manakala saya mahu kembali ke kereta mengambil buku nota yang tertinggal. Dalam perjalanan itu saya menyusur lorong gelap di bawah tangga ke tingkat satu yang menempatkan pejabat Ketua Polis Daerah (KPD).
Tiba-tiba terdengar di telinga saya di hujung lorong itu, suara Pissst! Pissst! Saya langsung tidak menyangka apa-apa ketika itu kerana menjangkakan ia adalah suara seorang anggota berpangkat sarjan (kalau tak silap saya namanya Paiman) yang amat saya kenali. Saya pun menuju ke arah suara itu. Biarpun agak samar-samar tapi saya nampak seperti ada batang tubuh manusia sedang berdiri. Dalam hati berkata juga, apalah dibuatnya sarjan itu di lorong gelap yang sunyi ketika itu.
"Kenapa duduk dalam gelap sarjan?" akhirnya terkeluar juga soalan dari mulut saya. Peliknya batang tubuh atau kelibat manusia yang mengeluarkan suara tadi bergerak ke belakang, ke satu sudut yang lebih gelap. Soalan saya pula tidak berjawab.
Mahu dijadikan cerita, pada masa sama telefon saya berbunyi. Rakan jurugambar memaklumkan KPD ketika itu Superintendan Wan Mohamad Wan Dolah mahu mengadakan sidang akhbar. Kawan jurugambar itu memberitahu juga pesanan KPD itu diterimanya daripada sarjan yang saya sangkakan berada di lorong gelap tadi. Sebaik mendengar cakap kawan saya itu, bulu roma saya terus meremang dan tak semena-mena, kelibat dalam gelap itu pula terus hilang. Saya diamkan sahaja kejadian itu kerana mahu diceritakan kepada KPD, saya tahu saya tentu digelakkan.
Kejadian kedua berlaku di luar bilik mayat hospital Kuala Lumpur. Sebelum itu saya mendapat maklumat ada seorang penjenayah baru mati ditembak. Maka kerana terlalu tergesa-gesa saya bersendirian meninggalkan seorang rakan dari NST menunggu di luar wad kecemasan. Ketika baru sahaja sampai di luar bilik mayat, saya terasa sangat-sangat mahu membuang air kecil. Oleh kerana jam kira-kira 3 pagi, tandas pula jauh saya ambil keputusan buang air kecil di belakang sebatang pokok sena yang besar.
Ketika itu juga saya bagaikan mahu memaki hamun kerana terpandang rakan dari NST juga berada di situ membuang air kecil. Hati saya geram sangat sebab dia melanggar perjanjian supaya bertugas menunggu di wad kecemasan. Dek kerana terlalu marah saya tinggalkan dia dan tidak terus ke bilik mayat, sebaliknya terus ke wad kecemasan.
Alangkah terkejutnya saya kerana rakan yang saya marah sangat tadi rupanya sedang elok berbual dengan beberapa jururawat di luar wad kecemasan itu. Saya pun bertanya, kenapa laju sangat dia sampai selepas membuang air kecil. Kawan saya kehairanan dan memberitahu, dia berada di situ dan tidak ke mana-mana.
Kejadian ternampak jelmaan rakan saya ketika membuang air kecil itu saya ceritakan kepada seorang pengawal keselamatan. Dia hanya terdiam sebelum memberitahu yang bukan saya seorang sahaja mengalami pengalaman itu. Dah ramai rupanya, diganggu lembaga menyerupai sahabat sendiri sebelum itu.
Saya yakin Allah menjadikan setiap kejadian dengan hikmahnya dan tidak menganggap kejadian itu sebagai halusinasi. Ia memang benar berlaku di depan mata.