NORHAYATI Othman, 38, isteri bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim, mengesyaki suaminya itu berdua-duaan dengan produser Raja Azmi Raja Sulaiman di sebuah bilik bernombor 533 Hotel Corus, Jalan Ampang, di Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 malam 7 Ogos lalu.
Ekoran itu, Norhayati yang ditemani ibu dan dua adiknya pergi ke tingkat lima, sebelum pergi ke bilik berkenaan dan berlaku pertengkaran selepas itu antara dia dan Roslin menyebabkan suaminya melepaskan lafaz cerai kerana terlalu berang.
Roslin yang mengakui melafazkan talak itu, berkata dia melafazkannya kerana berang dan tidak dipaksa oleh sesiapa dan tidak menyebut jumlah talak yang sebenarnya.
Norhayati hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur petang tadi, bagi memfailkan perceraiannya dengan Roslin di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad. Pengarah Pemasaran Finas itu diwakili peguam Zulqarnain Lukman, manakala Roslin diwakili peguamnya, Roslizam Rahim.
Ketika ditanya Wan Mahyuddin kenapa dia mengemukakan permohonan cerai, Norhayati berkata, dia mengetahui suaminya telah berlaku curang kerana berada di dalam bilik hotel bernombor 533 bersama produser, Raja Azmi yang juga isteri kepada jaguh badminton negara, Jailani Sidek. Bilik 533 itu didaftarkan mengikut nama Raja Azmi.
Norhayati yang kelihatan tenang tiba di mahkamah kira-kira jam 2 petang manakala Roslin bersama rakannya tiba lebih kurang setengah jam kemudian.
Mahkamah menangguhkan kes kepada masing-masing 1 dan 22 September depan, bagi mendengar penghujahan bertulis plaintif dan defendan.
Roslin sebelum ini pernah mengejutkan pelbagai pihak apabila bercerai dengan isteri perkahwinan pertamanya, Faizah Mohamad, selepas mereka bernikah hanya 12 hari. Kontroversi perceraiannya itu mendapat liputan meluas media.
Perkahwinan keduanya dengan Norhayati pula hanya lebih kurang sebulan selepas mereka bernikah Julai lalu.
sumber: Metro
sumber: Metro