nuffnang ads

Wednesday, August 18, 2010

INI LAUT BAPAK AKU, BUKAN LAUT BAPAK ENGKAU.

"INI laut bapak aku. Bukan  laut bapak engkau" kata nelayan Indonesia. "
Mana ada batu sempadan nak buktikan ini laut bapak engkau? Ini laut bapak aku hapa!!" balas nelayan Malaysia.

"Laut mana ada batu sempadan! Engkau bodoh ke apa?" balas pula nelayan Indonesia. Dicampaknya puntung rokok kretek ke laut.

"Habis kalau dah tahu tak ada batu sempadan, macam mana engkau tahu ini pun laut bapak engkau. Engkau pun sama bangang!" tingkah nelayan Malaysia marah. Rokok gulung daun nipah dilontarnya ke laut juga membalas perbuatan nelayan Indonesia tadi.

Mata masing-masing mendelik sebesar bola pingpong. Muka berminyak pula menyala bak udang dibakar. Perbalahan tidak habis di situ. Nelayan Indonesia mendakwa sebahagian ikan yang ditangkap nelayan Malaysia datangnya dari laut negaranya . "Ikan yang kamu tangkap itu pun sebahagiannya datang dari laut sebelah sini!"

Mendengar dakwaan itu, nelayan Malaysia semakin bengang. "Habis ikan yang engkau tangkap tu semuanya dari laut bapak engkau? Tak ada yang datang dari laut bapak aku?" nelayan Malaysia membalas.

"Kalau engkau takut ikan laut bapak engkau masuk laut dan jaring aku, suruhlah bapak engkau buat tembok halang ikan engkau masuk laut bapak aku!" nelayan Indonesia pula menyindir pedas.

Kemuncak perbalahan itu, nelayan Indonesia menghubungi pihak berkuasa negaranya menyuruh tangkap nelayan Malaysia. Tapi nelayan Malaysia yang menyedari tindakan itu, segera pula menghubungi pihak berkuasa Malaysia.

"Maaf ya pak" beritahu pihak berkuasa Inodonesia kepada pihak berkuasa Malaysia. "Nelayan bapak telah menangkap ikan di laut kami!" tambahnya.

Tapi pihak berkuasa Malaysia berkeras menafikannya. "Nelayan kami tangkap ikan di laut kami!"

Perbalahan baru pula tercetus. Pihak berkuasa Indonesia tidak peduli. Dia menangkap nelayan Malaysia yang dikatakan menceroboh itu. Pihak berkuasa Malaysia juga tidak peduli. Dia menangkap pula pihak berkuasa Indonesia. Sebahagiannya lari, tapi sebahagiannya dapat ditahan. Nelayan Malaysia dibawa ke Indonesia untuk ditahan, manakala pihak berkuasa Indonesia yang ditahan pula dibawa ke Malaysia untuk dimasukkan ke rumah pasung.

Demikianlah antara cerita yang boleh direka kalau membaca kes nelayan ditahan negara jiran. Konon masing-masing mendakwa laut ini milik masing-masing. Sedangkan tiada batu sempadan yang jelas untuk membuktikan tuduhan itu.  Sehinggakan ikan pun mahu dihakmilikkan, walaupun hakikatnya banyak ikan Malaysia dan ikan Indonesia berkahwin campur di laut milik Allah itu sejak sekian lama. 

Masing-masing mempertikaikan sempadan. Masing-masing mahu menegakkan benang masing-masing.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10