nuffnang ads
Tuesday, August 17, 2010
KEPADA YA AKU BUAYA (YAB) MOHAMAD HASAN
APA KHABAR DATUK MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN, MOHAMAD HASSAN? Aku hanya menghantar berita daripada kawan-kawanku yang sedang menggelepar kehausan dan kegatalan seluruh badan. Untuk pengetahuan YAB, rumah kami di Tasik Bukit Kepong, Port Dickson semakin kering. Anak-anak kami yang masih kecil, semakin hilang tempat untuk belajar menyelam dan bergurau senda.
Kenapakah YAB (Ya,Aku Buaya) tidak memaklumkan hasrat untuk mengeringkan tasik ini buat dijadikan loji nuklear berkuasa tinggi terlebih awal kepada kami? Sekurang-kurangnya kami akan membuat persediaan dan tidaklah kami ditinggalkan berlonggok dalam lubuk berlumpur tanpa makanan ini?
Kami faham YAB. Tanah ini milik kerajaan dan kami hanyalah setinggan yang mencuri duduk. Tapi sebagai setinggan kami juga mempunyai perasaan. Peri kebinatangan kami seharusnya YAB fikirkan sekali.
Menitis air mata kami apabila tasik ini mahu dijadikan loji nuklear negara. Kami sedih dan rakan-rakan kami tiada tempat lain untuk mengadu. Kalau benarlah YAB tiada lagi kasihnya kepada kami, biarlah kami membawa diri. Tapi jangan YAB marah, kalau nanti kami bersidai dan membuat rumah di sepanjang pantai di Tanjung Tuan dan Teluk Kemang. Hakikatnya kami mesti meneruskan hidup!