nuffnang ads

Tuesday, August 17, 2010

GARA-GARA LAMBAT BERTINDAK, NUR DHIYA BAKAL DIPENJARAKAN DI AFRIKA SELATAN

DI SATU SISI, Nur Dhiya Ain, 19, telah melakukan kesilapan apabila bertindak sendirian tanpa memaklumkan keluarga tentang pemergiannya ke Afrika Selatan. Pada sisi yang lain pula, pihak berkuasa, iaitu polis dan Wisma Putra juga melakukan kesilapan, kerana gagal menghalang Nur Dhiya daripada menaiki pesawat.

Kombinasi kesilapan kedua-dua belah pihak ini akhirnya mengakibatkan remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu, terpaksa merengkok di dalam tahanan, apabila diberkas oleh pihak berkuasa Afrika Selatan kerana disyaki menjadi keldai dadah, membawa 1.2 kg syabu.

Nur Dhiya yang dipercayai diperdayakan oleh mat Afrika, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town pada petang Sabtu lalu dan kemungkinan besar akan berdepan hukuman yang amat berat di atas kesalahan mengedar dadah.

Saya kasihankan anak gadis semuda itu. Pada usia yang masih ranum, dia telah terpedaya. Dia terjebak dalam permainan kata-kata manis lelaki. Nur Dhiya tewas dengan tipu daya dunia. Dia belum khatam tentang muslihat dunia yang penuh dengan teka teki ini. Akhirnya dia terjerat. Tanpa meminta pandangan orang lain terutama daripada ibunya, Roslah Jani, 43, Nur Dhiya membuat kesilapan paling besar dalam hidupnya.

Bagaimanapun, kalau benarlah dakwaan yang mengatakan ibunya ada membuat laporan dan menyalurkan maklumat kepada polis dan Wisma Putra yang Nur Dhiya akan berlepas ke Afrika Selatan, tetapi sebaliknya pihak berkuasa tidak berusaha menghalang gadis itu, ia juga adalah sesuatu yang amat dikesali.

Dikatakan juga bahawa keluarga gadis itu membuat laporan kepada pihak berkuasa pada jam 1 pagi, iaitu dua jam sebelum Nur Dhiya dijangka berlepas ke Afrika Selatan. Malangnya tempoh dua jam yang ada gagal dimanfaat pihak berkuasa, untuk sekurang-kurangnya menahan gadis itu daripada berlepas.

Berdasarkan kata-kata ibunya, Roslah, pihak berkuasa mendakwa 'tiada kes' untuk melakukan sesuatu, termasuklah menahan gadis itu daripada berlepas menaiki pesawat walaupun hakikatnya keluarga gadis itu meminta kerjasama. Mereka bukan sekadar membuat laporan tetapi turut memberikan maklumat mengenai kemungkinan Nur Dhiya terpedaya dengan sindiket yang menjadikan wanita sebagai keldai dadah.

Kini nasi telah menjadi bubur. Bertekak sampai kering air liur pun belum tentu boleh membuktikan siapa salah, siapa yang betul. Cuma kasihan kepada Nur Dhiya. Kesilapan berlaku kerana dia belum cukup matang menggunakan akalnya untuk berfikir.  Sementara kesilapan polis dan Wisma Putra adalah kerana kegagalan merasai 'instinct' bahawa gadis itu mesti diselamatkan. Sikap lambat berfikir dan lambat bertindak, diikuti pula oleh sikap ikut buku turut memburukkan kejadian. Namun usaha tetap dilakukan. Kepada semua, renungkan sejenak. Bagaimana kalau hal sebegini berlaku menimpa anak atau adik-beradik atau sanak saudara kita sendiri?
 


 

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10