Khir Toyo kata orang Melayu paling ramai jadi gangster di Selangor. Jumlah mereka adalah seramai 16,000 orang manakala gangster India seramai 13,000 dan Cina pula seramai 11,000 orang. Keseluruhan jumlah gangster di Selangor katanya adalah seramai 40,000 orang. Dia mendakwa angka itu diperolehi dua tiga hari lalu daripada polis Selangor.
Jumlah itu katanya meningkat mendadak sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak dua tahun lalu. Pada masa yang sama dia tidak pula mampu memberitahu berapa jumlah gangster di Selangor mengikut pecahan kaum sepanjang tempoh dia menjadi menteri besar. Dalam ceramah @ pertandingan Raja Lawak yang disertainya di Jalan Kebun, Klang malam tadi, Khir menjelaskan angka yang amat membimbangkan itu berpunca daripada kegagalan PR membanteras rumah urut dan pusat hiburan!
Nah...begitu senang rupanya seorang yang memimpin parti Melayu cuba membohongi rakyat dengan memberi alasan yang tidak masuk akal. Dia seolah-olah lupa bahawa pembentukan seseorang atau sesebuah kumpulan gangster mengambil masa yang panjang selain dipengaruhi oleh aneka sebab dan faktor penyumbang, apatah lagi membabitkan 40,000 ganster seperti cuba diautakannya. Dan perkara yang paling Khir terlupa fikirkan ialah terminologi gangster itu sendiri. Jangan dia menganggap kes remaja berkelahi kerana salah faham berebutkan teman wanita digolongkan sebagai gangster! Jangan juga dia menganggap kes remaja baling batu ke arah lori sebagai kes melibatkan gangster! Khir kena faham sebelum bercakap!
Kalau difikirkan, cakap-cakap Khir memang meragukan. Pertama di segi jumlah yang diberikannya. Kedua di segi punca kenapa seseorang itu menjadi gangster. Dia jelas tidak bercakap ikhlas apabila menyebut tentang angka berdasarkan pecahan kaum itu. Apakah dia mahu mendahului polis? Tidakkah dia sedar bahawa pendedahan itu sesuatu yang boleh menimbulkan kacau ganggu di dalam masyarakat? Hal-hal dalam lingkaran jenayah adalah kerja polis, sementelah membabitkan jumlah penjenayah yang sebegitu besar, tanpa adanya pengesahan daripada pihak berkuasa. Apakah Khir mahu meletakkan dirinya melebihi kuasa Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri dengan membuat kenyataan sensitif dan berbau perkauman itu. Dia berselindung di sebalik platform politik cuba memburukkan pemimpin PR tetapi pada masa sama tanpa sedar telah melontarkan najis yang busuk ke muka UMNO dan ke mukanya sendiri
Isu dibangkitkan Khir ini adalah umpama melontar bebola api dan minyak ke dalam emosi orang Melayu. Tujuannya tentulah menghina. Menghina kononnya orang Melayu adalah bodoh selama dua tahun kerana menyokong Pakatan Rakyat sehingga menjatuhkan UMNO dari takhta. Khir kelihatan cuba mencipta 'masthead' baru dalam isu di Selangor dengan tag line MELAYU JAHAT. Ini tentu antaranya bertujuan menghindar kebimbangan kalau-kalau rakyat Melayu masih menolak UMNO dan BN. Yang jelas, jika angka 16,000 Melayu jadi gangster di Selangor tidak betul, siaplah! Akan panas punggung ketua pembangkang itu dibakar oleh api yang diciptanya sendiri.
Kebenaran kata-kata ahli politik seperti Khir amat meragukan. Kalau benarlah angka 16,000 itu ada kaitan dengan kelemahan pentadbiran PR, kenapa pula jumlah gangster mengikut pecahan kaum ketika dia menjadi Menteri Besar tidak langsung disentuhnya malam tadi.
Sejarah dalam melaporkan berita di media pun, seboleh-bolehnya mengelak daripada menyebut nama kaum apabila sesuatu jenayah itu dilaporkan. Dan sebagai bekas wartawan jenayah, saya yakin benar Khir cuba meraih remah-remah politik apabila bermain dengan kenyataan berbahaya dan menghina itu. Dia mesti bertanggungjawab di atas ucapannya itu. Pihak berkuasa harus menyiasat apa yang diucapkannya. Berbahaya benar lawak yang terkeluar dari mulut seorang lelaki parah yang sedang diserang sawan. Khir mesti diberi faham dan reti bahawa seorang gangster tidak dilahirkan secara segera dalam tempoh dua tahun! Banyak faktor penyumbang yang mesti diambilkira, terutama daripada latar belakang keluarga dan persekitaran. Proses ini memakan masa bertahun-tahun dan sudah tentu ia bermula sejak zaman KHIR MENJADI MENTERI BESAR LAGI. Apatah pula kalau gangster yang lahir hari ini berusia awal 20-an.
Nampak benar Khir menjadi sawan sejak terhalau keluar dari pejabat menteri besar! Kata-katanya telah menyinggung bukan sahaja orang Melayu Selangor, tetapi kaum India dan Cina juga. Seolah-olah majoriti orang Melayu di Selangor adalah orang jahat.
Maka pada fikiran saya, orang jahat inilah yang akan menolak BN, khususnya pemimpin seperti Khir bin Toyo dalam pilihanraya depan yang dijangka berlangsung 17 bulan setengah dari sekarang!!!!!!!